X

Kindly register in order to view this article
!

Polis sahkan terima laporan kes gangguan seksual ahli Parlimen

Fadzil Ahmat
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang wanita Khamis lalu, berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan seorang ahli Parlimen di Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, wanita mengaku sebagai pegawai penyelidik dan Bendahari PKR Cabang Sungai Siput berusia 47 tahun itu membuat laporan di Selangor.

Menurutnya, dalam laporan itu, wanita tersebut menyatakan dicabul dan diaib oleh seorang lelaki yang merupakan seorang ahli Parlimen.

“Kejadian dikatakan berlaku beberapa kali sejak Disember tahun lalu.

“Polis kini sedang menyiasat beberapa saksi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini media tempatan melaporkan bekas pembantu ahli Parlimen itu membuat laporan polis beliau telah diganggu secara seksual.

Laporan itu turut menyebut wanita itu mendakwa ahli parlimen berkenaan telah menunjukkan buku 'Kamasutra' serta gambar lucah kepadanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen dikaitkan dengan perkara terbabit tampil membuat sidang media ditemani Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, beliau sedia maklum akan laporan polis berniat jahat yang dibuat oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai penyelidikan parlimennya itu.

Menurut Kesavan, beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan bakal dijalankan.

Ia katanya, termasuk menyerahkan bukti-bukti yang menunjukkan gangguan dan ugutan dibuat oleh wanita terbabit untuk merosakkan rumah tangganya.