Diskusi nasional perlu bagi tangani kesihatan mental

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan supaya diskusi nasional perlu diadakan bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan belia di negara ini.

Beliau berkata perbincangan mengenai hal itu masih di tahap rendah di negara ini dengan ramai rakyat Malaysia terutama golongan beliau menganggap kesihatan mental hanya satu isu yang menyedihkan.

Mereka melihat isu kesihatan mental sebagai masalah yang bukan nyata tetapi secara realiti ia membunuh orang secara perlahan.

" Isu ini bukan hanya menjejaskan Malaysia tetapi di seluruh dunia dengan lebih ramai orang muda terjejas dengan masalah kesihatan mental yang serius,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kes seorang remaja berusia 16 tahun dipercayai membunuh diri selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Padawan, Sarawak, semalam.

Remaja wanita itu didakwa membuat undian di akaun Instagram dengan memaparkan status: “Sangat penting, bantu saya pilih." dengan menyediakan dua pilihan iaitu D (Death) atau L (Life), masing-masing bermaksud "Mati atau Hidup”.

Hasil undian yang dijalankan, 69 peratus responden memilih D dan remaja berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk menamatkan riwayatnya.

Syed Saddiq berkata, buat permulaan, beliau akan mengadakan diskusi dengan pakar di universiti mengenai kesihatan mental.

Artikel Berkaitan:

“Jumaat ini, apabila melawat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, saya akan menghoskan dialog dan akan mempelawa beberapa pakar duduk bersama dan melihat kaedah untuk menangani isu ini,” katanya. - Bernama