Membina karakter kepimpinan abrar

Muhammad Iqbal (kiri) dan Mohd Khairudin
Muhammad Iqbal (kiri) dan Mohd Khairudin
A
A
A

SUBANG JAYA – Masjid Al-Falah USJ 9, di sini, akan berkolaborasi bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan menganjurkan Al-Falah #QuranHour sempena Karnival Maulidur Rasul bertema 'Rasulullah Always In My Heart' pada 14 Oktober ini.

Pengarah Projek Al-Falah #QuranHour, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi berkata, program berinteraksi al-Quran melalui baca, faham dan amal membawa tema 'Kepimpinan Abrar' dengan berpandukan Surah al-Insan.

"Orang ramai dialu-alukan menyertai program satu jam bermula jam 9.30 pagi untuk melihat perspektif kepimpinan abrar (orang yang berbuat kebaikan) dan kepentingan dalam memimpin diri, keluarga, organisasi dan negara.

“Berpandukan Surah al-Insan, ia memberi pengisian untuk membina kerangka fikir dan karakter pemimpin abrar. Ini bertepatan dengan tema Karnival Maulidur Rasul yang mengajak pengunjung menghayati kepimpinan Rasulullah SAW,” katanya.

Terdahulu, program #QuranHour dihoskan Ustaz Khairul Haffiz Abd Halim akan dimulakan dengan bacaan al-Quran bimbingan Qari Ustaz Mohd Faizan Tajuid dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Sesi tadabbur pula bakal disampaikan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan Ustaz Shamsul Hakim.

Peserta berpeluang mengikuti perkongsian daripada dua tokoh ternama iaitu Nazir Masjid Al-Falah USJ 9 yang juga ahli korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Program bakal diakhiri bacaan ikrar oleh Ustaz Hafizal Harun dan doa daripada Ustaz Mohd Hafizul Husna Samad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Falah USJ 9, Mohd Khairudin Abd Aziz berkata, Karnival Maulidur Rasul adlaah program terbesar secara fizikal diadakan selepas pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

Jelasnya, karnival itu diadakan sempena kelahiran Rasulullah SAW pada bulan Rabiulawal 1445H dan sambutan Jubli Perak bagi penubuhan Masjid Al-Falah yang ke 25 tahun.

"Ia juga sebagai usaha Masjid Al-Falah USJ 9 untuk mengumpul dana sebanyak RM3 juta bagi projek pembangunan kemudahan masjid, khususnya pembinaan kompleks tiga tingkat untuk kegunaan pegawai masjid, rumah tamu dan kafe.

"Selain itu, dana ini bertujuan membina Perpustakaan Ilmu Ibnu Sina yang berkonsepkan digital, bilik nikah, bilik wuduk dan bilik mesyuarat. Semua projek ini sudah mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," ulasnya.

Mohd Khairudin berkata, Masjid Al-Falah USJ 9 bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), JAIS, Sinergi Ilmu dan TV9 untuk menjayakan karnival selama tiga hari bermula 13 Oktober pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang bukan Islam dijemput hadir bagi mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat sepanjang tiga hari itu.

“Pihak masjid turut menjemput pihak pengurusan daripada agensi kerajaan dan swasta sebagai tetamu pada program utama karnival iaitu Al-Falah #QuranHour dan Tanyalah Ustaz. Seramai tujuh ribu pengunjung dijangka hadir sepanjang karnival berlangsung," katanya.

Menurut Mohd Khairudin, bertepatan tema karnival 'Rasulullah SAW Always In My Heart', pihaknya mengharapkan pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah dan menikmati makanan, malah merasai serta menghayati kehidupan dan ajaran Rasulullah SAW.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sinergi daripada TV9, Yayasan Ummah Ikhlas, MBSJ, JAIS, Sinergi Ilmu dan penyumbang dalam menjayakan karnival ini.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook Quran Hour dan Masjid Al Falah USJ 9.