Selenggara bangunan lama elakkan kebakaran

Awang Hidzel (kiri) melihat Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah yang mencuba teknik mengepil pintu kereta di sudut pameran bomba.
Awang Hidzel (kiri) melihat Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah yang mencuba teknik mengepil pintu kereta di sudut pameran bomba.
A
A
A

YAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang ramai agar menyelenggara bangunan yang berusia hampir 60 tahun.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, kebanyakan struktur bangunan terbabit membabitkan bahagian bawah batu dan atasnya kayu.

Menurutnya, perkara yang perlu diberi penekanan adalah pendawaian bangunan kerana ia mungkin akan menjadi penyebab kebakaran.

"Sekarang ini pun masih ada lagi bangunan kedai lama yang bawah batu atas kayu, jadi kalau terbakar akan lebih mudah merebak.

"Kalau bangunan itu milik persendirian susah pihak bomba nak lakukan pemeriksaan, tapi kalau gudang, pejabat atau pasar raya, kita boleh kawal," katanya ketika ditemui di Program Bersama Komuniti Yan di Kompleks Guar Utama di sini pada Sabtu.

Pada 28 September lalu, sebanyak 14 rumah kedai di Kampung Sungai Korok, Jitra musnah dalam kejadian pada jam 1.20 pagi itu.

Sebelum itu, pada 17 September, di Sungai Petani, dua individu maut dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda.

Difahamkan rumah kedai terbabit adalah bangunan lama yang berusia lebih 60 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Awang Hidzel juga menasihati petani di Kedah agar sentiasa mengawal api ketika membakar jerami.

"Sekarang musim menuai, jadi kalau bakar jerami pastikan tunggu dan kawal api,lebih hati-hati dan ada kawalan yang penting," katanya.