Johari cari jalan tangani ketidakhadiran ahli Parlimen

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata beliau sedang melihat dengan serius langkah-langkah perlu dilaksanakan termasuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka terus tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.

Johari berkata, beliau perlu melaksanakan sesuatu yang lebih ketat untuk meningkatkan kehadiran ahli Parlimen kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili.

Beliau berkata, ada cadangan termasuk daripada bekas Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang mahu Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda untuk memudah cara pelaksanaan tindakan sedemikian.

"Saya rasa ia adalah agak wajar kerana pada masa sekarang kami tidak ada peraturan itu bermakna Ahli Parlimen tidak ada kekangan melakukannya. Selepas hadir buat seketika, mereka blah, ini tidak adil, kata bekas Ahli Parlimen Gurun itu dan menambah beliau juga sedia untuk meningkatkan ketelusan dengan memuat naik rekod kedatangan Ahli Parlimen dalam laman sesawang Parlimen.

"Tetapi saya perlu melihat pada aspek perundangan sama ada ia boleh atau tidak tetapi bagi saya secara peribadi sudah tentu ia wajar tetapi sekali lagi seperti saya katakan saya perlu melihat kepada mekanisme dan undang-undang termasuk Peraturan Mesyuarat sama ada ia dibenarkan atau tidak," kata beliau pada mesyuarat Kelab Concorde pada Jumaat.

Kelab Concorde adalah sebuah perjumpaan tidak rasmi sekumpulan pengarang dan wartawan kanan dengan ahli politik dan pembuat dasar utama. Turut hadir Pengerusi Bernama yang baharu Datuk Seri Wong Chun Wai.

Pada 29 Ogos lepas, Johari dilapor mencetuskan idea untuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka tidak hadir ke sesi sidang Parlimen sebagai satu langkah mencegah ketidakhadiran dalam kalangan mereka.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kadang-kadang ahli Parlimen tidak hadir selama beberapa hari tetapi beliau tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan walaupun mereka dibayar RM500 sebagai elaun harian.

Sementara itu, Johari berharap pada sidang Parlimen akan datang yang bermula pada 9 Oktober akan dipenuhi dengan perbahasan dan idea berkualti untuk pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

"Jika anda mahu melangkah ke hadapan, anda perlu bercakap mengenai pembangunan negara, masa hadapan dan idea untuk tahun-tahun mendatang. Itulah sebenarnya yang diinginkan terhadap Ahli Parlimen kerana jika anda masih membincangkan soal isu remeh, maka kita tidak akan ke mana.

Tambahan pula, satu kajian menunjukkan golongan muda semakin berminat untuk mendengar perbahasan jadi mereka tahu apa yang berlaku di Parlimen. Maka, saya fikir adalah penting untuk menunjukkan nilai yang baik," katanya.

Mengenai rombakan kabinet, Johari berkata, beliau tidak begitu mengetahuinya tetapi sememangnya menyedari bahawa tempoh pelantikan senator untuk satu atau dua menteri akan tamat tidak lama lagi, maka ini memerlukan rombakan.

"Sama ada Perdana Menteri mahu mengisi jawatan itu atau tidak, saya tidak tahu. Lagipun bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sudah lama meninggal (dunia), dan kami perlukan seseorang untuk mengendalikan kementerian itu tanpa membebankan menteri-menteri lain. - Bernama