Parkir luar pagar rumah: MBPG hanya saman selepas terima aduan

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) hanya menyaman kenderaan diparkir di luar pagar rumah selepas menerima aduan penduduk setempat.

Menerusi penjelasan dalam Facebook MBPG, pihaknya mengeluarkan memo dan notis pemberitahuan tersebut selepas mendapati isu berkenaan menimbulkan masalah.

"Untuk makluman pihak tuan/puan, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG pada tahun lalu ialah 242 aduan.

"Sementara pada tahun ini sehingga September ialah 349 aduan berkaitan kacau ganggu kenderaan.

"Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan antaranya seperti meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu di kawasan/tempat awam," jelas kenyataan itu.

Pada Rabu, tular satu notis pemberitahuan daripada MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan ditempat awam.

Notis terbabit pendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, ada pihak yang menyokong, namun dalam masa sama terbeban dengan penguatkuasaan terbabit.

Dalam notis pemberitahuan itu, tindakan boleh diambil atas kesalahan dibawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 332), Seksyen 46 (1) (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3 (n) Undang-undang kecil vandalisme (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2011 dan Perintah 17(1) dan 17(2) Perintah Lalulintas Jalan (peruntukan mengenai tempat letak kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001.

Artikel Berkaitan:

Notis yang dikeluarkan dalam Facebook MBPG di bawah arahan Datuk Bandar Pasir Gudang itu juga menyatakan tindakan mengkompaun kesalahan serta-merta boleh dikenakan di bawah Undang-undang kecil mengkompaun kesalahan Akta Kerajaan Tempatan (MPPG) 2010 dengan kadar maksimum kompaun RM500. Dan dibawah Undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan (mengkompaun kesalahan-kesalahan MPPG) 2011 dengan kadar maksimum kompaun RM2,000.