Pasangan kembar meriahkan Ironkids Langkawi

Elyaas Omar dan Mateen bergambar bersama atlet dari Australia Dimity-Lee Duke (kiri) dan Cassie Heaslip selepas berjaya menamatkan acara Ironkids sempena Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3 pada Jumaat. - Foto Bernama
Elyaas Omar dan Mateen bergambar bersama atlet dari Australia Dimity-Lee Duke (kiri) dan Cassie Heaslip selepas berjaya menamatkan acara Ironkids sempena Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PASANGAN kembar lelaki antara 133 peserta cilik menyertai Ironkids yang menjadi acara pembuka tirai Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3 pada Jumaat.

Elyaas Omar Mohd Irwan dan adiknya Mateen Omar, 11, dari Selangor yang menyertai Ironkids buat kali kedua selepas acara sama tahun lalu, mengambil masa tiga bulan untuk membuat persiapan bagi menyertai Ironkids tahun ini.

"Kami mengambil masa tiga bulan untuk berlatih dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami berlatih sama ada berdua atau bersama ayah. Kebiasaannya, setiap hari kami akan berlatih berlari sejauh tiga kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

"Pada hari Jumaat dan Ahad pula, kami akan berlatih berenang kira-kira satu jam... walaupun menjalani latihan hampir setiap hari ia tidak mengganggu sesi pembelajaran kami sebagai pelajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Selangor," kata Elyaas Omar.

Bagi Ironkids, dua kategori umur penyertaan diadakan tahun ini iaitu aquathlon untuk tujuh hingga 10 tahun dan aquathlon untuk 11 hingga 15 tahun.

Bagi peserta aquathlon tujuh hingga 10 tahun, disiplin renang sejauh 100 meter (m) dan larian sejauh 1.8km, sementara untuk peserta kategori 11 hingga 15 tahun, disiplin renang sejauh 200m dan larian 3.6km.

Sementara itu, bapa pasangan kembar itu, Mohd Irwan Ahmad Mustafa, 43, yang menyertai Ironman Langkawi 70.3 buat kali ketiga berkata anak-anaknya itu mula menjinakkan diri dalam sukan triatlon sejak berusia sembilan tahun lagi.

"Saya beri pendedahan awal kerana mahu mereka memiliki kehidupan yang aktif dan kalau lihat, persaingan di luar sana sekarang sangat mencabar... jadi untuk beri kelainan, saya dedahkan mereka dengan sukan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3 yang akan bermula pada 7 pagi, esok akan membabitkan disiplin renang sejauh 3.8km, berbasikal (180km) dan larian (42.2km) bagi kategori Ironman Malaysia manakala bagi Ironman Langkawi 70.3 ia melibatkan disiplin renang sejauh 1.9km, berbasikal (90km) dan larian (21.1km). - Bernama