Pemandu BMW dakwa panik, tak tahu patah balik - Polis

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kanan: Khaw Kok Chin
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kanan: Khaw Kok Chin
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Pemandu wanita yang memandu melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada Isnin lalu memberi alasan dia panik kerana tersalah jalan dan tidak tahu berpatah balik semasa kejadian berlaku.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita berusia 41 tahun itu berasal dari Alor Star, Kedah namun bekerja sebagai pegawai bank di negeri ini.

Menurutnya, ketika kejadian, wanita yang memandu kereta BMW itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar dari sebuah restoran di Persiaran Karpal Singh di sini.

"Kita belum mengambil keterangan daripada kedua-dua pemandu kereta kerana mereka masih dirawat di hospital. Pemandu Perodua Bezza baru menjalani pembedahan untuk memotong usus kecil di Hospital Pulau Pinang akibat daripada pelanggaran itu.

"Sementara itu, pemandu wanita berkenaan hanya mengalami pening dan sesak nafas. Dia masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Kok Chin menambah, polis sudah mengambil sampel darah pemandu wanita berkenaan untuk ujian alkohol dan dadah.

"Kita masih menunggu keputusan analisis sampel darah wanita tersebut sebelum siasatan lanjut dijalankan.

"Siasatan mendapati wanita berkenaan memandu melawan arus sejauh lima kilometer sebelum melanggar sebuah kenderaan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seorang lelaki cedera selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta mewah yang dipandu wanita berkenaan.