Malaysian Tigers perlu bangkit segera - Marhan

Marhan (kiri) menuntut rakan sepasukan untuk segera bangkit melupakan kekecewaan gagal ke separuh akhir Sukan Asia Hangzhou 2022. Foto FB MHC.
Marhan (kiri) menuntut rakan sepasukan untuk segera bangkit melupakan kekecewaan gagal ke separuh akhir Sukan Asia Hangzhou 2022. Foto FB MHC.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara perlu segera bangkit daripada kekecewaan gagal mara ke pusingan separuh akhir di Sukan Asia bagi meneruskan misi memburu kelayakan Olimpik Paris 2024.

Malaysia yang menduduki ranking ke-10 dunia memulakan kempen Kumpulan B dengan baik apabila membelasah Thailand 9-0, Oman 11-1 dan Indonesia 9-2, namun terlepas peluang ke separuh akhir selepas tewas tipis 3-4 kepada Korea Selatan dan terikat 4-4 menentang China malam Isnin.

Pasukan yang dikenali sebagai Malaysian Tigers itu seterusnya akan bertemu Pakistan pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam Jumaat ini.

Kapten pasukan kebangsaan Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata, rakan sepasukannya harus kekal positif menjelang aksi terakhir itu untuk mendapatkan kedudukan kelima, supaya dapat meneruskan cabaran kelayakan ke Paris 2024.

“Satu keputusan yang negatif dan kecewa kerana tak dapat masuk separuh akhir, dalam masa sama sasaran (emas) untuk kejohanan ini tidak tercapai. Sebagai kapten, saya kena teruskan perasaan positif untuk bermain perlawanan seterusnya, tidak boleh kalah kerana mata ranking penting untuk Kejohanan Kelayakan nanti.

“Kita tak boleh leka kerana masih lagi ada peluang (untuk Olimpik). Selepas ini kena bekerja lebih keras dan naikkan intensiti kerana pada kejohanan itu, semua pasukan yang beraksi adalah kuat dan terbaik di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt meminta skuad Malaysian Tigers dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melakukan pascanilai terhadap prestasi mereka untuk segera bangkit.

“Kita berasa sedih kerana mahukan hoki harumkan nama negara dan dapatkan pingat. Tetapi saya juga berasa bangga kerana mereka berani dan bersemangat untuk mengejar emas, sebagai CDM saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus buat kajian teliti untuk bangkit dan melihat bagaimana kita boleh capai sasaran pada temasya akan datang. Perlu belajar daripada kesilapan kali ini,” katanya. - Bernama