SK TUDM Subang menang Sekolahku Popular

Yusri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Nik Justin pada Majlis Penyerahan Smart Board Arvia di SK TUDM Subang pada Isnin.
Yusri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Nik Justin pada Majlis Penyerahan Smart Board Arvia di SK TUDM Subang pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang telah dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Sekolahku Popular sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari sekali gus berjaya meraih ‘Smart Board Arvia’ berharga RM8,500.

Penolong Kanan Kokurikulum SK TUDM Subang, Fadzilah Zainu Hasri berkata, pihak sekolah menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Karangkraf kerana menganjurkan acara berkenaan dengan memberikan hadiah yang boleh dimanfaatkan untuk murid-murid.

“Sebaik sahaja mengetahui ganjaran yang disediakan oleh pihak penganjur, saya telah mengadakan perbincangan dengan guru pusat sumber sekolah (PSS) untuk menghantar sebanyak mungkin penyertaan murid.

“Akhirnya, pihak sekolah membuat keputusan membawa kesemua murid tahun enam untuk menyertai program itu, namun ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK TUDM Subang,” katanya.

Majlis Penyerahan Smart Board Arvia turut diserikan dengan persembahan daripada murid bicara berirama SK TUDM Subang.
Majlis Penyerahan Smart Board Arvia turut diserikan dengan persembahan daripada murid bicara berirama SK TUDM Subang.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Smart Board Arvia di SK TUDM Subang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadzilah memberitahu, pihak sekolah telah menghantar satu surat kepada PIBG untuk memohon bantuan pengangkutan.

Jelas beliau, usaha berkenaan telah mendapat sambutan daripada persatuan itu yang mana mereka telah memperuntukkan sebanyak enam buah bas untuk membawa murid-murid dan guru ke karnival tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK TUDM Subang, Yusri Jamari berkata, pihaknya sentiasa menyokong inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam meningkatkan mutu pembelajaran murid.

“Mendengar penjelasan daripada pihak sekolah, kami (ahli PIBG) telah berbincang mengenai kaedah menghantar anak-anak ke program tersebut.

“Alhamdulillah, kami telah mendapat kerjasama baik daripada pihak TUDM untuk membantu menyediakan sebanyak enam bas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak persatuan begitu menyokong penglibatan murid-murid ke acara berkenaan kerana ia dapat memberikan pendedahan meluas bukan sahaja dari aspek pendidikan tetapi pengalaman menyertai acara berskala besar.

Pada masa sama, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pertandingan Sekolahku Popular terbuka kepada sekolah rendah dan sekolah menengah yang mengikuti Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada awal September lalu.

Para guru SK TUDM Subang bersama-sama bergambar para tetamu dengan hadiah yang dimenangi iaitu Smart Board Arvia berharga RM8,500.
Para guru SK TUDM Subang bersama-sama bergambar para tetamu dengan hadiah yang dimenangi iaitu Smart Board Arvia berharga RM8,500.

“Kriteria dalam menentukan Pemenang Sekolahku Popular adalah menerusi jumlah terbanyak penyertaan murid daripada sesebuah sekolah.

“Saya melihat pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan kerana banyak sekolah menghantar penyertaan murid melebihi 100 orang,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kejayaan yang diraih oleh SK TUDM Subang merupakan satu kemenangan tipis kerana mereka mendahului dengan anggaran seramai 30 orang murid sahaja.

Pengarah Urusan Israk Solution Sdn Bhd (Israk Solution), Ahmad Najib Habeb berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh Sinar Karangkraf kerana mengetengahkan aspek pendidikan ke arah pendigitalan.

Murid SK TUDM Subang teruja rangkul gelaran Sekolahku Popular sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Murid SK TUDM Subang teruja rangkul gelaran Sekolahku Popular sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

“Tujuan kerjasama ini dilakukan adalah kerana pendekatan yang dibawa oleh Sinar Bestari dalam mengadakan program sekolah ke sekolah yang digelar sebagai Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS).

“Memandangkan kita ke arah pendigitalan pendidikan sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), jadi memang ada persamaan objektif. Saya merasakan kolaborasi ini merupakan sinergi terbaik,” katanya.