Jangan 'sidai' jemputan terlalu lama - PM

Anwar ketika berucap Majlis Ramah Mesra Madani Di Dewan Cancelor UTP pada Ahad.
Anwar ketika berucap Majlis Ramah Mesra Madani Di Dewan Cancelor UTP pada Ahad.
A
A
A

PARIT - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan tidak menetapkan kehadiran tetamu dalam program terlalu awal bagi mengelak pembaziran masa.

Beliau berkata, kehadiran yang terlalu awal dengan sebahagiannya mempunyai jurang waktu sehingga satu jam hanya akan mengurangkan produktiviti negara.

"Saya tengok dalam jadual, ketibaan PM (Perdana Menteri) jam 1 petang, ketibaan jemputan pula jam 12 tengah hari, pasai apa awal sangat, satu jam ni mereka nak buat apa, naya tu.

"Jadi saya minta semua jabatan kerajaan kalau urusan program ini, tukarlah sikit. Jika ketibaan PM jam 1 petang, buatlah ketibaan jemputan 12.40 (tengah hari) pun bolehlah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Madani bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Cancelor Universiti Teknologi Petronas (UTP) dekat Seri Iskandar di sini pada Ahad.

Anwar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan e-Kasih kepada Mohd Shahrizal Khamis bagi bantuan katil dan kaki luncur berjumlah RM3,300 sempena Majlis Ramah Mesra Madani Di Dewan Cancelor UTP pada Ahad.
Anwar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan e-Kasih kepada Mohd Shahrizal Khamis bagi bantuan katil dan kaki luncur berjumlah RM3,300 sempena Majlis Ramah Mesra Madani Di Dewan Cancelor UTP pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Anwar berkata, dalam sesuatu program rasmi, kehadiran jemputan yang ditetapkan dalam tempoh 10 ke 15 minit lebih awal adalah sudah memadai.

Artikel Berkaitan:

"Ini mesti dijadikan arahan. Kalau 10 ke 15 minit sebelum itu, tak mengapalah kerana nak atur tempat duduk dan sebagainya.

"Tidak perlu tetamu diminta hadir terlalu awal dan tunggu lama, ini akan membazir waktu dan mengurangkan produktiviti," katanya disambut tepukan gemuruh lebih 2,000 tetamu yang hadir.

Dalam majlis berkenaan, Ahli Parlimen Tambun itu menyampaikan bantuan peserta e-Kasih kepada lima peserta dan bantuan kotak makanan 'Kotak Rezeki Ummat' daripada Myfundaction.

Turut disampaikan surat kelulusan projek Masjid Ar-Rahmaniah di Tronoh.