Malaysia akur India terlalu hebat

Aksi skuad hoki negara ketika menentang Hong Kong.
Aksi skuad hoki negara ketika menentang Hong Kong.
A
A
A

SKUAD hoki wanita kebangsaan menerima kekalahan pertama selepas tewas 0-6 di tangan India dalam aksi kedua Kumpulan A temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park di sini pada Jumaat.

India membuktikan status mereka sebagai pasukan gergasi Asia apabila mendahului Malaysia dengan selesa 4-0 pada suku pertama perlawanan.

Pasukan di ranking ketujuh dunia itu membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi Monika, diikuti jaringan hasil pukulan sudut penalti Deep Grace Ekka (minit kelapan) sebelum Nisha dan Vaishnavi Vittal Phalke masing-masing meledak gol pada minit ke-11 menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti pada minit ke-15.

India kemudian memperlahankan rentak permainan, namun masih berjaya melebarkan kedudukan selepas Sangita Kumari menjaringkan gol kelima pada minit ke-24 diikuti jaringan Lalremsiami pada minit ke-50 untuk menoktahkan kemenangan kedua pasukan India.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata anak buahnya telah memberikan persembahan terbaik untuk cuba menyaingi kehebatan India.

"Kita memang tahu India pasukan yang hebat, kalau tengok setiap sudut mereka lebih daripada kita...kekalahan 0-6 memang agak berat tapi pemain sudah berikan persembahan yang bagus. Namun saya rasa ada ruang untuk penambahbaikan.

"Saya juga berbangga dengan usaha ditunjukkan para pemain dan saya harap mereka tidak mengalah kerana pasukan mempunyai misi dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Selepas dua perlawanan, Malaysia kini di tempat ketiga dengan tiga mata sementara India dan Korea Selatan berkongsi kedudukan teratas selepas mengumpul enam mata.

Artikel Berkaitan:

Singapura dan Hong Kong yang sudah bermain tiga perlawanan di kedudukan keempat (tiga mata) dan kelima (tanpa sebarang mata).

Malaysia akan berdepan Singapura pada Ahad ini. - Bernama.