'Segala-galanya musnah sekelip mata'

Anggota bomba dari BBP Jitra memadamkan kebakaran deretan kedai di Kampung Sungai Korok, di sini awal pagi Jumaat.
Anggota bomba dari BBP Jitra memadamkan kebakaran deretan kedai di Kampung Sungai Korok, di sini awal pagi Jumaat.
A
A
A

JITRA - Seorang pemuda buntu memikirkan kedai runcit diusahakan sejak dua tahun lepas di Kampung Sungai Korok, di sini musnah sekelip mata dalam kebakaran, awal pagi Jumaat.

Mangsa, Mohd Akram Mohd Johari, 31, berkata, dia yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian menyedari kebakaran terbabit selepas dimaklumkan orang ramai.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian, bagaimanapun kedai runcitnya diusahakan bersama adiknya, Mohd Aslam, 22, tidak dapat diselamatkan.

"Segala-galanya musnah sekelip mata. Memang sedih lihat kedai runcit diusahakan sejak dua tahun lalu musnah kerana barang-barang dalam kedai banyak, semuanya terbakar tapi belum tahu jumlah kerugian.

"Sebelah kedai kami, kedai motosikal manakala yang lain kebanyakannya kediaman penduduk tetapi semuanya sempat keluar menyelamatkan diri ketika kejadian," katanya.

Kedai runcit diusahakan Mohd Akram antara 15 rumah kedai kelas B yang musnah dalam kebakaran itu.

Menurutnya, kedai runcit terbabit beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 7.30 malam setiap hari namun tiada sesiapa di lokasi pada waktu kejadian.

"Saya reda dengan apa yang berlaku meskipun semua barangan musnah sekelip mata sehingga menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, sebanyak 15 deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.20 pagi itu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Beliau menganggarkan keseluruhan kawasan terbakar adalah 70 peratus, namun punca serta kerugian dalam siasatan.