Ramzan Kadyrov sokong tindakan anak

Adam merupakan salah seorang anak pemimpin Chechnya tersebut. - Foto Agensi
Adam merupakan salah seorang anak pemimpin Chechnya tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

GROZNY - "Saya bangga dengan tindakan tegas anak lelaki saya".

Kenyataan itu diberikan Pemimpin Republik Chechnya di Rusia, Ramzan Kadyrov pada Isnin sebagai menyokong perbuatan anaknya, Adam, 15, yang mengasari seorang tahanan yang didakwa membakar al-Quran.

Sekutu kepada Presiden Vladimir Putin itu turut memuat naik klip kejadian tersebut di aplikasi Telegram setelah ia menjadi tular pada bulan lalu.

"Tindakannya bukanlah keterlaluan. Saya menghormatinya kerana dia mampu berfikiran matang walaupun masih remaja demi untuk mempertahankan maruah agama Islam," ujarnya.

Tahanan warga Ukraine yang dikenali sebagai Nikita Zhuravel, 19, turut membuat aduan tentang tindakan kekerasan tersebut kepada wakil kumpulan hak asasi manusia.

Kadyrov, 46, dikatakan telah memberikan publisiti secara meluas kepada ketiga-tiga anaknya yang turut dihantar untuk menyertai operasi ketenteraan Rusia.

Penglibatan mereka di medan pertempuran bagaimanapun tidak dapat disahkan malah terdapat laporan yang mendakwa beliau bakal menamakan anak sulungnya, Akhmat sebagai penggantinya setelah keadaan kesihatannya dikatakan semakin merosot.

Baru-baru ini, terdapat khabar angin yang mendakwa Kadyrov sudah meninggal dunia atau berada dalam keadaan koma.

Artikel Berkaitan:

Beliau bertindak menafikan khabar angin itu dan menyatakan tujuannya melakukan perjalanan ke Moscow adalah untuk menziarahi bapa saudaranya yang sakit. - Agensi