Lawatan ke AS berjaya buahkan hasil - PM

Anwar ketika sidang media sempena hari terakhir beliau berada di New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. Foto Bernama
Anwar ketika sidang media sempena hari terakhir beliau berada di New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan empat hari beliau ke Amerika Syarikat berjaya mengetengahkan pendirian Malaysia berhubung isu global dan meningkatkan profil negara di persada antarabangsa.

Menurut beliau, lawatan itu memberi peluang untuk berkongsi dasar dan aspirasi negara terkait hubungan antarabangsa.

"Ternyata hasilnya baik, ternyata profil antarabangsa kita telah meningkat. Lanjutan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat dalam isu-isu global dan berkepentingan bersama,” tambah beliau.

Bercakap pada sidang media pada akhir lawatan beliau ke New York untuk menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, Anwar berkata beliau menerima begitu banyak permintaan untuk mengadakan pertemuan di luar sesi UNGA.

"Terdapat begitu banyak permintaan untuk mesyuarat dua hala, kami tidak dapat menampung kerana kekangan masa. Saya gembira profil antarabangsa Malaysia telah meningkat ke kedudukan yang mengagumkan,” tambah beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lawatan itu memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti konflik Ukraine-Rusia, Islamofobia, perubahan iklim dan masalah di Myanmar.

Semasa di New York, Anwar berkata, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin Turkiye, Iraq, Thailand dan Sri Lanka.

Pada masa sama, Anwar berkata, usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia terus membuahkan hasil melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS).

Artikel Berkaitan:

Anwar telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.

Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion, Anwar memberi komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif.

Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan keputusannya untuk hadir pada UNGA kali ini walaupun pada awalnya tidak mahu datang kerana pelbagai isu domestik dan kurang yakin akan adanya hasil daripada UNGA itu sendiri.

"Pertama ada isu domestik yang perlu diselesaikan. Banyak perubahan seperti transformasi tenaga, pelan induk perindustrian, Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan juga Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Ia sangat berat...mujurlah keadaan jauh lebih baik sekarang,” kata Anwar.

Beliau juga memuji kerja keras kakitangan Kedutaan Malaysia ke AS dan Perwakilan Tetap ke PBB, Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam lawatan ini. - Bernama