Batu sungai limpahan rezeki buat OKU, suami

Masmieliya menyusun batu sungai yang diambil di sebuah sungai di Gua Musang.
Masmieliya menyusun batu sungai yang diambil di sebuah sungai di Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita kurang upaya sanggup berulang-alik bersama suami dari rumahnya di Kampung Demit Sungai, Kubang Kerian di sini ke sebuah sungai di Gua Musang bagi mencari batu sungai untuk dijadikan tungku.

Usaha Masmieliya Idris, 25, dan suami, Azalan Seman, 57, berbaloi kerana batu itu mendapat permintaan dari seluruh negara termasuk Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Menurut Masmieliya, batu sungai digunakan untuk bertungku secara tradisional sejak berabad lalu bagi menghilangkan lenguh-lenguh selain dipercayai dapat menyihatkan badan.

"Kami mengambil keputusan menjual batu sungai selepas berkelah di sebuah sungai di Gua Musang.

"Ketika itu suami mendapat idea menjual batu yang ada di situ kerana sesuai dijadikan tungku. Alhamdulillah, kami boleh berbelanja untuk keperluan anak-anak," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Masmieliya yang cacat pendengaran tidak menyangka batu itu mendapat sambutan dan ada ketika dapat menjual 100 butir dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Lebih menggembirakan katanya, ramai mahu membeli batu tungku tersebut selepas dia memuat naik gambar dan harga di media sosial.

Tambahnya, pelanggan tidak berkira untuk membayar kos pembelian dan caj pos kerana mereka memang mencari batu itu untuk tujuan perubatan secara tradisional.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, hasil jualan batu sungai ini boleh menambah pendapatan kami sekeluarga kerana suami hanya bekerja sebagai kelindan lori," katanya.

Ibu kepada tiga anak berusia antara dua hingga tujuh tahun itu memberitahu, pelanggan yang membeli batu sungainya terdiri daripada ibu mengandung, pengamal perubatan tradisional dan individu yang mahu menjadikan koleksi atau hiasan.

Bagaimanapun, Masmieliya mengakui perlu mendapatkan pertolongan bapa saudaranya, Mohd Nasir Lah, 63, yang mahir dalam selok-belok mengambil batu sungai di kawasan hutan.

Katanya, bekalan batu itu diambil seminggu sekali atau bergantung kepada kehendak pelanggan kerana ada masanya stok cepat habis.

"Tidak semua batu sungai sesuai dijadikan tungku. Kami juga perlu mencarinya di kawasan sungai bersesuaian bagi mengelakkan batu cepat pecah jika dibakar secara kerap.

"Tungku yang tahan lama dan tidak pecah hanya terdapat di kawasan sungai tertentu," katanya.

Masmieliya menjual batu itu pada harga RM10 hingga RM20 tetapi harga lebih tinggi jika ada yang memintanya mencari batu nisan kerana saiznya lebih besar.