Selawat dan takbir iringi Cikgu Kasim

Pemimpin tertinggi PN mengiringi Cikgu Kasim (tiga dari kanan) yang diarak oleh lebih 2,000 penyokong ahli PN.
Pemimpin tertinggi PN mengiringi Cikgu Kasim (tiga dari kanan) yang diarak oleh lebih 2,000 penyokong ahli PN.
A
A
A

BENTONG - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sempena hari penamaan calon pada Sabtu.

Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Kasim diarak lebih 2,000 penyokong yang hadir seawal jam 8 pagi sebelum memasuki Dewan Orang Ramai Felda Kemasul dekat sini.

Selain itu, penyokong turut mengiringi Naib Yang Dipertua Pas kawasan Bentong yang juga Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan barisan kepimpinan Pas Pahang.

Pemimpin daripada parti gabungan PN iaitu pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Pahang turut kelihatan memberi semangat kepada calon sempena proses penamaan calon.

Cikgu Kasim (duduk, tiga dari kanan) ditemani pemimpin tertinggi PN menunggu di bawah khemah di luar Dewan Orang Ramai Felda Kemasul bagi proses pendaftaran nama sebagai calon pada Sabtu
Cikgu Kasim (duduk, tiga dari kanan) ditemani pemimpin tertinggi PN menunggu di bawah khemah di luar Dewan Orang Ramai Felda Kemasul bagi proses pendaftaran nama sebagai calon pada Sabtu

Bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.

Pas sekali lagi menurun Cikgu Kasim, 63, yang sebelum ini pernah bertanding di DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15), namun tewas kepada penyandang DUN, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang lapan kerusi.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.

PRK Pelangai yang pertama selepas PRU15 di Pahang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, susulan kematian Johari yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.