Lelaki maut selepas kereta dirempuh lori

Keadaan kereta mangsa selepas dirempuh lori
Keadaan kereta mangsa selepas dirempuh lori
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dilanggar sebuah lori di KM 17.5 Jalan Benut-Simpang Renggam berhampiran Parit Haji Salam, di sini, kira-kira jam 4.49 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohar Darsin, 58.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke rumahnya di Parit Haji Salam.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang ketika itu dalam keadaan berhenti untuk masuk ke simpang Parit Haji Salam telah dilanggar di bahagian sebelah kanan oleh lori yang datang dari arah Benut menghala ke Simpang Renggam.

"Akibat dari perlanggaran, lori tersebut telah bergerak ke hadapan sebelum berpusing masuk ke dalam gaung menghala balik ke arah Benut manakala kereta yang dipandu mangsa dalam keadaan berpusing dan melintang di tengah jalan menghala ke Benut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pekerja swasta meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam sebelum jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu lori berusia 40 tahun yang mengalami kecederaan parah juga sedang menerima rawatan di hospital yang sama selain kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan merupakan jalan persimpangan tiga dan mempunyai garisan berkembar selain keadaan cuaca berada dalam keadaan kering ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kenderaan yang terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Kluang untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.