[VIDEO] Johor terima 80 tan beras, tampung kekurangan bekalan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah menghantar 80 tan metrik beras putih tempatan (BPT) ke Johor bermula Isnin bagi mengatasi masalah kekurangan bahan makanan itu di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, penghantaran beras tersebut merupakan intervensi pertama dilakukan kerajaan pusat menerusi MAFS.

Jelasnya, agihan beras itu diterima menerusi tiga agensi iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Zahari
Zahari

"KPB pada Isnin telah menerima 30 tan metrik BPT. Edaran BPT fasa pertama membabitkan 30 tan metrik ke 38 rangkaian pasar raya di seluruh negeri.

"Manakala edaran fasa kedua membabitkan 30 tan metrik BPT oleh FAMA. Ia sedang diagihkan kepada empat pusat pengumpulan iaitu di Johor Bahru, Tangkak, Batu Pahat dan Simpang Renggam sebelum disalurkan kepada seluruh 35 outlet FAMA dan pasar tani kekal dan mula dijual mulai Rabu.

"Seterusnya LPP juga akan menambah 20 tan metrik BPT," katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita negeri Johor di Institut Pengurusan Peladang di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Zahari (tengah) pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita negeri di Institut Pengurusan Peladang pada Selasa.
Zahari (tengah) pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita negeri di Institut Pengurusan Peladang pada Selasa.

Menurut Zahari, pengagihan BPT akan dibuat mengikut keperluan dan kepadatan penduduk di sesuatu kawasan terutama bandar raya.

"Keperluan rakyat ialah beras putih tempatan bukan beras import. Beras import saya lihat setakat ini tiada masalah cuma harganya lebih tinggi.

"Disebabkan itu beras putih tempatan ini yang dikawal harga iaitu antara RM24 ke RM26 ringgit bagi pek 10 kilogram (kg) menjadi keutamaan kerajaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Zahari memaklumkan terdapat 900 pesawah di Johor yang mengusahakan penanaman padi seluas 2,900 hektar di 10 kawasan antaranya di Batu Pahat, Muar, Tangkak, Kota Tinggi dan Mersing.

Jelasnya, walaupun sawah padi di Johor dikategorikan sebagai sawah padi di luar jelapang, namun kerajaan negeri tetapi fokus dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluarannya.