AT Seberang Perai Utara 2 juara Yakult Piala Global

Pasukan AT SPU 2 merangkul gelaran juara Yakult Piala Global di Nilai baru-baru ini. -Foto: Yakult
Pasukan AT SPU 2 merangkul gelaran juara Yakult Piala Global di Nilai baru-baru ini. -Foto: Yakult
A
A
A

AKADEMI Tunas (AT) Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Seberang Perai Utara (SPU) 2 muncul juara Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global 2023 di Serimas Sportplex, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kejohanan itu adalah selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu menyebarkan kesihatan kepada seramai yang mungkin.

Kapten AT SPU 2, Anas Sufiyan Mohd Arif menyifatkan kejayaan itu sebagai sebuah mimpi yang menjadi kenyataan selain berazam untuk menjadi pemain terbaik negara pada masa depan.

"Saya dan pasukan sangat seronok dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada pihak penganjur, Yakult Malaysia atas ruang dan peluang yang diberikan kepada kami untuk menyertai kejohanan ini.

“Pasukan kami mendapat tempat ketiga di peringkat zon. Selepas itu kami berlatih bersungguh-sungguh untuk sasar menjadi juara pertandingan kali ini dan Alhamdulillah, kami berjaya.

“Cita-cita saya untuk masuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan seterusnya menjadi pemain bola yang terbaik untuk negara,” kata pemain berusia 12 tahun itu.

Penganjuran kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu telah mengumpulkan 16 pasukan terbaik seluruh Malaysia melalui saringan yang diadakan di setiap zon seluruh negara.

Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global itu mula dianjurkan pada tahun 2019 dan kemudiannya dihentikan seketika pada tahun 2020 dan 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelum diteruskan pada tahun 2022 dan 2023.

Artikel Berkaitan:

Objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat muda tempatan bersaing dalam kejohanan kompetitif di peringkat umur 12 tahun.

Selain itu ia juga bagi memberi peluang kepada pemain cilik tempatan menampilkan bakat mereka untuk dinilai oleh pencari-pencari bakat sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti Yakult boleh layari laman sesawang Yakult di www.yakult.com.my.