X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO Selangor jangka tiada peralihan kuasa PM

Rizam (kanan) bergambar bersama penduduk pada Program Penyerahan Bubur Lambuk di hadapan Pejabat ADUN Sungai Air Tawar di sini.
A
A

SABAK BERNAM - Pemuda UMNO Selangor menjangkakan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, sehingga kini, tidak nampak sebarang keikhlasan di antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Dr Mahathir tidak akan memberikan kuasa perdana menteri ini kepada Anwar kerana sememangnya mereka musuh sejak dulu lagi.

"Tetapi hanya kerana mengejar kuasa, mereka berpura-pura berbaik, namun saya cukup yakin rakyat tidak mudah ditipu," katanya pada Program Penyerahan Bubur Lambuk di hadapan Pejabat ADUN Sungai Air Tawar di sini.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, meskipun Dr Mahathir berjanji akan berundur dan memberi kuasa kepada Anwar, namun kenyataan beliau dilihat sering kali tidak bersifat konsisten.

"Saya lihat perdana menteri melaksanakan apa yang terlintas di fikiran pada ketika itu mengikut populariti semata-mata.

“Misalnya, banyak perkara daripada segi keperluan rakyat semakin mendesak gagal diperjuangkan, malah prestasi PH gagal sepanjang setahun mereka mentadbir negara," katanya.

Beliau berkata, antara kelemahan itu termasuk pendapatan negara semakin merosot, kekurangan pelabur di samping kos sara hidup rakyat yang tinggi.

"Selain itu, kita dapati masalah pengangguran semakin meruncing, selain mereka juga dilihat gagal mendukung aspirasi dan kehendak rakyat seperti mana yang dijanjikan dalam PRU14," katanya.

Rizam juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi yang memberi markah 1.5 daripada 10 selepas setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Memang Itulah taraf yang patut diberi kerana bukan saja kita, malah pengundi dan dunia juga turut meletakkan penurunan dari segi pencapaian kerajaan PH," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!