RMK12: Rakyat Johor harap projek baharu disegerakan

Lebuhraya Senai-Desaru kerap mengundang kesesakan yang agak teruk selain kemalangan jalan raya. - Gambar fail
Lebuhraya Senai-Desaru kerap mengundang kesesakan yang agak teruk selain kemalangan jalan raya. - Gambar fail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat Johor berharap pelaksanaan projek pengangkutan dan logistik baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen semalam dapat disegerakan.

Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya, Lim San Shien berkata, ini bagi memastikan projek-projek yang dirancang kerajaan termasuk peluasan perkhidmatan pengangkutan awam Bus Rapid Transit (BRT) itu dapat memberi manfaat dan kepada rakyat dengan kadar segera.

"Pada masa sama, saya juga berharap agar kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan apabila perkhidmatan BRT itu dilancarkan,” kata Ikon Siswa Kepimpinan itu kepada Bernama.

Sementara itu, ahli perniagaan Muhammad Ismail Sajiman, 37, berkata, pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng ke Senai Utara secara berfasa serta naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru dijangka membantu mengurangkan masalah kesesakan terutama ketika musim perayaan atau cuti umum.

"Berkenaan naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru pula, saya berpendapat ia sangat ‘wajib’ dilakukan kerana laluan tersebut kerap mengundang kesesakan yang agak teruk selain kerap berlaku kejadian kemalangan jalan raya.

"Diharapkan dengan menaik taraf laluan tersebut, mungkin dengan menambah lorong dan sebagainya, ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya malah dapat tingkatkan aktiviti serta ekonomi setempat," katanya yang tinggal di Kulai.

Beliau berkata, langkah itu akan turut membantu sektor pelancongan negeri memandangkan Desaru menjadi tumpuan pelancong.

Perluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru, naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru; pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa diumumkan Anwar semalam sebagai antara 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Ketika membentangkan usul KSP RMK12 2021-2025 di Parlimen, Anwar berkata, anjakan utama pengukuhan jaringan pengangkutan awam akan menyediakan akses dan ketersambungan yang lebih baik bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin cekap, berdaya harap, mampu bayar dan selamat. - Bernama