Dua lagi mangsa tragedi 9/11 dikenal pasti

Dua pesawat yang dirampas merempuh menara berkembar WTC di New York pada 11 September 2001. - Foto Agensi
Dua pesawat yang dirampas merempuh menara berkembar WTC di New York pada 11 September 2001. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Ulang tahun ke-22 memperingati tragedi 9/11 pada Isnin membawa khabar gembira buat waris keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden itu yang pernah menggemparkan dunia.

Pihak berkuasa mengesahkan identiti dua lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian runtuhan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS) selepas ia dirempuh pesawat dirampas al-Qaeda pada 11 September 2001 berjaya dikenal pasti melalui analisis DNA baharu.

Identiti lelaki dan wanita itu bagaimanapun terpaksa dirahsiakan atas permintaan keluarga mereka.

“Kami berharap pengenalan baharu ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada waris keluarga selain mempamerkan usaha berterusan Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan (OCME) untuk menyatukan semula kesemua mangsa dengan insan tersayang mereka,” kata Datuk Bandar New York, Eric Adams pada Jumaat lalu.

Difahamkan, dua identiti terbaharu itu dikenal pasti menerusi teknologi penjujukan akan datang yang dikatakan lebih pantas dan sensitif berbanding teknik DNA konvensional.

Tragedi tersebut turut meragut nyawa ribuan pasukan penggerak balas pertama, pekerja pembinaan dan penduduk sekitar yang jatuh sakit akibat terhidu asap toksik. - Agensi

Info

>Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan (OCME) mengesahkan identiti seramai 1,649 daripada 2,753 mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.

>Kira-kira 1,104 identiti mangsa masih belum dapat disahkan. Kemajuan dilaporkan agak perlahan sejak beberapa tahun lalu.

>Kali terakhir dua identiti berjaya dikenal pasti adalah pada 2021.

>Tragedi tersebut meragut sekurang-kurangnya 2,977 nyawa.