Pelbagai aktiviti menarik pada hari terakhir karnival

Pengunjung menyertai aktiviti bermain ping pong sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.
Pengunjung menyertai aktiviti bermain ping pong sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hari terakhir Karnival Pendidikan Sinar Bestari hari ini akan dimeriahkan dengan beberapa acara menarik seperti pertunjukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pertandingan Moto Show Klasik serta Retro di Kompleks Kumpulan Karangkraf dekat sini.

Selain itu, pentas utama karnival bakal diwarnai dengan acara zumba seawal jam 8 pagi diikuti pertandingan tarian dalam kalangan peserta dari sekolah rendah dan menengah, selain persembahan Silat Cekak Hanafi.

Bagi Pertandingan Moto Show, hadiah ditawarkan kepada peserta enam kategori iaitu retro 250cc ke atas, retro 250cc ke bawah, retro open, kapcai retro, kapcai klasik dan klasik open.

Peserta boleh membawa motosikal klasik dan retro masing-masing di tempat pameran yang disediakan sebelum juri membuat pemarkahan berdasarkan kriteria seperti keunikan serta kreativiti bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pula melakukan persembahan pada majlis penutupan pada sebelah petang sehingga berakhirnya karnival selewat jam 7 malam.

Pada masa sama, pameran daripada agensi keselamatan negara lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan turut disediakan.

Sinar Harian juga memberi peluang kepada pengunjung berpeluang merasai pengalaman menjadi wartawan penyiaran dan pencipta kandungan serta melihat sendiri proses suntingan bahan berita untuk cetakan akhbar.

Selain persembahan dan pertandingan, penganjuran karnival dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer lebih 50 aktiviti untuk seisi keluarga.

Artikel Berkaitan:

Karnival tersebut diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf untuk pengunjung berhibur, belajar serta membeli-belah dalam masa yang sama.


Atur cara hari ketiga

8 pagi - Zumba SinarPlus

9 Pagi - Pertandingan Tarian Sekolah Rendah (SK)

10 pagi - Pertandingan Robotik X Bank Rakyat (SK), Pertandingan e-Games Sinar Bestari ‘Game On’ dan Moto Show

11.30 pagi - Pertandingan Tarian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)

1 petang - Demonstrasi Pertunjukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

2 petang - Let’s Do Giant Doodle Something Nice #RasuahBusters dan Pertandingan Robotik X Bank Rakyat (SMK)

3 petang - Persembahan Silat Cekak Hanafi

3.45 petang - Penyampaian hadiah Pertandingan Moto Show

4 petang - Who wants to be a Genius Star oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd

5 petang - Majlis perasmian penutupan Karnival Pendidikan Sinar Bestari dan persembahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)