Karnival Pendidikan Sinar Bestari lahirkan wartawan cilik

Para pelajar dapat merasai pengalaman untuk menjadi pembaca TVPSS. Gambar kecil: Syed Haiqal, Noor Aidilfitriyatun, Muhammad Faiz, Muhammad Haziq
Para pelajar dapat merasai pengalaman untuk menjadi pembaca TVPSS. Gambar kecil: Syed Haiqal, Noor Aidilfitriyatun, Muhammad Faiz, Muhammad Haziq
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari bukan sahaja mengetengahkan bakat pelajar tetapi juga memberi peluang kepada para guru pusat sumber sekolah (PSS) untuk mengasah kebolehan anak murid untuk menjadi seorang wartawan.

Seorang guru PSS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas, Klang, Noor Aidilfitriyatun Mohd Taib berkata, dengan adanya aktiviti bertaraf kebangsaan ini, ia secara tidak langsung membantu para guru dalam memberi pendedahan kepada para pelajar.

“Setelah program TVPSS ini diperkenalkan, kami (guru) hanya mampu untuk memberi pendedahan di peringkat sekolah sahaja, jadi mereka (anak murid) tidak mempunyai pengalaman yang secukupnya.

“Apabila menerima surat undangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuat liputan di karnival ini, kami (guru) teruja untuk membawa anak murid mendapatkan ilmu yang lebih mendalam,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan guru Pendidikan Islam berkata, peluang berkenaan secara tidak langsung membangkitkan semangat para pelajar untuk meneroka lebih lanjut dunia kewartawanan.

Sementara itu, guru pembimbing TVPSS, SK Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung, Muhammad Faiz Arbain berkata, cara yang terbaik dalam mengasah bakal pelajar adalah dengan memberi pendedahan yang berbeza daripada kebiasaan.

Para pelajar berpeluang mengasah bakat dalam bidang kewartawanan di van jelajah TVPSS.
Para pelajar berpeluang mengasah bakat dalam bidang kewartawanan di van jelajah TVPSS.

Menurut Muhammad Faiz, pembelajaran secara teori akan lebih berkesan apabila mereka diberi peluang untuk menterjemahkan perkara yang dipelajari menerusi aktiviti liputan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita (guru) bawa anak didik ke karnival ini, mereka dapat melihat kepelbagaian cara penyampaian daripada pihak media dan sekolah lain.

“Secara tidak langsung, mereka boleh mempelajari perkara baharu dalam mempelbagaikan cara penyampaian dan menambah keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar TVPSS dari SK Sri Andalas, Syed Haiqal Syed Hasnawi berkata, dia teruja untuk mengikuti aktiviti liputan TVPSS ke karnival pendidikan itu.

Kata pelajar berusia 12 tahun itu, pendedahan tersebut membuatkan dia mahu meneroka dengan lebih lanjut kehidupan sebagai seorang penyampai berita.

“Peluang yang diberikan ini, membuatkan saya mahu menjadi penyampaian TVPSS yang lebih baik dan disegani. Saya mahu rakan-rakan di sekolah menjadikan saya idola untuk menjadi wartawan muda,” katanya.

Turut memiliki cita-cita sama, pelajar SK Taman Bunga Raya 1, Muhammad Haziq Zikri Baharudin, 11, berkata, dia ingin mempelajari dengan lebih mendalam kerjaya sebagai seorang wartawan.