Kerja keras SMK Abdul Jalil buahkan hasil

Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor yang muncul pemenang pertandingan kawad kaki Karnival Sinar Bestari.
Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor yang muncul pemenang pertandingan kawad kaki Karnival Sinar Bestari.
A
A
A

SHAH ALAM - Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor muncul pemenang pertandingan kawad kaki Karnival Sinar Bestari yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Jurulatihnya, Muhammad Saiful Ashraf Mohd Zailani berkata, usaha dan kerja keras berpasukan yang dilakukan sejak Mac lalu membuahkan hasil membanggakan apabila muncul juara pada pertandingan kali ini.

Beliau yang juga guru di SMK Abdul Jalil berkata, kebanyakan ahli pasukan KRS yang mengambil bahagian adalah pelajar Tingkatan 1 dan 2, selebihnya daripada Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5.

Katanya, latihan intensif telah dilakukan sejak Mac apabila mengetahui pertandingan kawad kaki Karnival Sinar Bestari akan berlangsung pada Mei.

"Namun ia ditunda pada Julai, tetapi ditunda lagi sehinggalah pada hari ini.

"Kami mengadakan latihan sebanyak tiga sesi iaitu pada pagi, petang dan malam bagi memantapkan pasukan.

"Rasa amat bersyukur kerana penat lelah serta masa yang telah dikorbankan selama ini membuahkan sebuah kejayaan yang sangat manis," katanya pada Jumaat.

Abdul Jabbar dipilih sebagai pemenang Ketua Platun Terbaik pertandingan kawad kaki sempena Karnival Sinar Bestari pada Jumaat.
Abdul Jabbar dipilih sebagai pemenang Ketua Platun Terbaik pertandingan kawad kaki sempena Karnival Sinar Bestari pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat pertandingan yang diadakan di dataran Kompleks Media Karangkraf.

Tempat kedua dimenangi oleh Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) SMK Sri Andalas, Klang dan tempat ketiga diraih Kadet Polis SMK Kepong.

Sebanyak 12 buah sekolah yang bertanding dan dinilai oleh pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Karnival Sinar Bestari berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini dengan menyajikan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada orang ramai.

Tambah Muhammad Saiful, pasukan KRS SMK Abdul Jalil sebelum ini pernah menjadi johan pertandingan kawad kaki peringkat negeri Selangor bagi kategori lelaki dan wanita pada tahun lalu.

Selain itu menurutnya, sekolah itu turut mengungguli pertandingan kawad kaki kategori lelaki bagi peringkat daerah selama enam tahun berturut-turut sejak 2017.

Kejayaan tersebut menjadi lebih manis apabila ketua pasukan itu, Abdul Jabbar Nur Abdul Wahab dipilih sebagai pemenang Ketua Platun Terbaik pertandingan.

Pelajar Tingkatan 5 aliran Vokasional itu berkata, dia agak terkejut apabila diumum sebagai pemenang.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka dipilih sebagai Ketua Platun Terbaik kerana Ketua Platun daripada Kaspa SMK Sri Andalas merupakan pemenang peringkat kebangsaan.

"Apa-apa pun saya rasa sangat bersyukur kerana pencapaian baik ini merupakan kejayaan berpasukan," ujarnya.

Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil.
Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil.

Abdul Jabbar berkata, kesemua rakan pasukan sangat bersemangat untuk mencipta kejayaan pada pertandingan kali ini.

Sementara itu katanya, semasa berada di Tingkatan 4, dia tidak menyertai pertandingan kawad kaki kerana terlibat dalam pertandingan tarian kebudayaan peringkat kebangsaan, selain terlibat dengan Ikon Koperator Muda Koperasi Kebangsaan 2022.

"Pada Ikon Koperator Muda Koperasi, saya muncul sebagai Naib Johan.

"Saya sudah terlibat dalam KRS dan kawad kaki sejak daripada Tingkatan 1, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengurangkan sedikit aktiviti bersama pihak sekolah," ujarnya.