KKDW pertingkat prasarana luar bandar

Ahmad Zahid menyertai Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 Bersama Pemain Industri Dan Pihak Berkepentingan kementerian, di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid menyertai Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 Bersama Pemain Industri Dan Pihak Berkepentingan kementerian, di sini pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan dalam mempertingkatkan prasarana luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diambil antaranya dengan menaik taraf kehidupan penduduk Sabah, Sarawak dan Orang Asli melalui pembinaan serta baik pulih ameniti sosial selain menambah cakupan telekomunikasi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, ekonomi luar bandar turut diperkasakan bagi menjana pendapatan penduduk melalui pelancongan desa dan pertanian campur.

"Besar harapan saya untuk melihat KKDW berperanan secara efektif membimbing usahawan luar bandar supaya produk mereka dapat dinaik taraf dan kemudiannya dipasarkan ke peringkat global," katanya pada Khamis.

Ujar Ahmad Zahid, pasaran halal global yang kini mencecah AS$3.3 trilion membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk menengahkan produk mereka.

"Dengan syarat usahawan luar bandar mesti berani bersaing dan punyai semangat kompetitif dalam memasarkan produk mereka," katanya.

Tidak ketinggalan jelas beliau, kementerian turut mengambil pendekatan perkongsian pintar antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan syarikat-syarikat swasta.

Inisiatif itu bagi mempermudahkan penempatan pekerjaan bidang kemahiran.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga merancang untuk melahirkan Tekno Huffaz iaitu graduan TVET yang memiliki diploma atau ijazah tetapi dalam masa sama sebagai seorang sebagai huffaz.

Insya-ALLAH dengan pasukan yang ada ini, saya akan berusaha memastikan segala input dan cadangan ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan dijadikan input kepada Belanjawan 2024," katanya.

Terdahulu, beliau menyertai Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 Bersama Pemain Industri Dan Pihak Berkepentingan kementerian.