Dua beregu mara, Tze Yong tercicir di China

Tang Jie (kanan) dan Ee Wei akan menentang Taiwan dalam aksi suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. - Foto Badminton Photo
Tang Jie (kanan) dan Ee Wei akan menentang Taiwan dalam aksi suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan perjalanan dalam saingan Terbuka China apabila mara ke peringkat suku akhir di Changzhou pada Khamis.

Lebih manis, pasangan ranking ke-11 dunia itu mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Eun Jeung Na 21-15, 15-21, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Mereka akan berentap dengan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan bagi perebutan tiket ke separuh akhir pada Jumaat.

Turut meraih slot suku akhir ialah pasangan profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12.

Ia pencapaian terbaik pasangan itu pada tahun ini selepas sering terkandas di pusingan awal.

Kian Meng-Pei Jing akan menentang pilihan keempat Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dalam saingan suku akhir.

Dalam pada itu skrip berbeza buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila impiannya untuk berada dalam kelompok lapan pemain terbaik tidak kesampaian setelah tewas kepada Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia.

Tze Yong yang memenangi set pertama berada di ambang kejayaan pada aksi set penentuan apabila mendahului 20-17, namun dia gagal bertahan yang akhirnya menyaksikan dia akur dengan kekalahan 21-18, 11-21, 20-22.

Artikel Berkaitan: