Mati akibat enam tembakan di kepala, badan

Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu.
Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu.
A
A
A

KLANG - Sebanyak enam kesan tembakan ditemui pada kepala dan badan seorang lelaki yang maut di hadapan sebuah kedai di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima das tembakan pada kepala dan satu di badan mangsa berusia 36 tahun itu.

"Motif kejadian masih dalam siasatan polis," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini pada Rabu.

Vijaya Rao berkata, keenam-enam suspek berusia 20 hingga 40-an yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas direman empat hari dengan jaminan.

"Salah seorang daripadanya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai tatu di anggota badan yang disyaki ada kaitan dengan kongsi gelap," katanya.

Beliau berkata, keenam-enam individu itu adalah rakan mangsa dan mengenali antara satu sama lain.

"Jadi sesiapa yang ada di tempat kejadian sebelum mangsa mati, kita ambil dan soal siasat mereka. Kita sedang mengesan individu lain namun setakat ini belum ada tangkapan," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang rampasan atau penemuan senjata daripada kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 10 keterangan telah diambil termasuk dari ahli keluarga, jiran dan rakan rapat mangsa.

"Kes masih dalam siasatan dengan mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman serta berharap dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Pada 31 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah lampau ditemui mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Kapar sebelum menahan enam individu di sekitar Kapar bagi membantu siasatan kes tersebut.