Tak sabar lihat gandingan Arif Aiman, Mickey

Arif Aiman (kanan) meraikan jaringan bersama Faisal Halim pada perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia lawan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jun lalu. - Foto Bernama
Arif Aiman (kanan) meraikan jaringan bersama Faisal Halim pada perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia lawan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SENTUHAN magis Kim Pan Gon sebagai pengendali skuad bola sepak kebangsaan sudah tentu terus ditagih penyokong.

Malaysia akan berdepan Syria dan China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung di Chengdu, China, 6 dan 9 September ini.

Merak Jalanan yang sempat 'meninjau' laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) rasa kagum dengan persediaan dan komitmen pemain yang dipanggil Pan Gon untuk sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mana tidaknya, pemain sensasi Selangor FC, Muhamad Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai 'Mickey' yang sebelum ini dikenakan tindakan gantung empat bulan oleh FAM telah kembali bersama rakan pasukan lain.

Apa yang Merak Jalanan ingin sangat lihat ialah kombinasi dan kepantasan dua gandingan pemain sayap iaitu Mickey dan Arif Aiman Mohd Hanapi.

Ya, apa yang dilihat dalam perlawanan persahabatan antarabangsa terakhir pada Mac dan Jun lalu, gandingan itu antara jentera yang membantu menewaskan Turkmenistan 1-0, Hong Kong (2-0), Kepulauan Solomon (4-1) dan Papua New Guinea (10-0).

Tapi, usah lupa juga kekentalan pemain pertahanan, kebijaksanaan pemain tengah, ketangkasan penjaga gol serta ketajaman penyerang.

Lengkapnya 'pakej' ini, sudah tentu tidak mustahil untuk memberi sinar pada pasukan negara menentang Syria dan China yang menghuni kelompok 100 terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya, dengan sistem dan gaya permainan pasukan yang semakin berevolusi ini, Malaysia mampu menang.

Biar pun rekod Harimau Malaya kurang cantik apabila tewas 0-3 dan 1-2 dalam dua aksi persahabatan terakhir berdepan Syria pada 2014 dan 2017 serta tumpas kepada China 0-2 dalam aksi persahabatan pada 2013 dan 1-5 ketika aksi Piala Asia 2007, itu hanya angka dan pasti akan diubah.