PM ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak ASEAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, Indonesia selama tiga hari bermula esok.

Beliau juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di luar Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar akan turut menghadiri Upacara Perasmian ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF).

Wisma Putra menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, AIPF akan memberi ruang bagi para pemegang taruh untuk berbincang secara inklusif bagi meneroka kerjasama yang akan menggalakkan perkembangan ekonomi yang berdaya tahan, mampan, transformatif dan kreatif di rantau ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha pembinaan komuniti ASEAN, Komuniti ASEAN Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar serta isu serantau dan antarabangsa.

Penyertaan Malaysia juga akan menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap kerjasama serantau dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

Semasa di Jakarta, Anwar turut dijangka akan bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat.

Kehadiran Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri; Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai- pegawai kanan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum sidang kemuncak, Zambry akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-34.

"Beliau juga akan bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan," kata Wisma Putra.