Budak perempuan 5 tahun dirogol anak pengasuh

Gambar kecil, Mazuki.
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun menjadi mangsa rogol anak lelaki pengasuhnya dalam kejadian di Taman Lapangan Jaya di sini.

Kejadian itu diketahui selepas mangsa menceritakan perbuatan remaja berusia 16 tahun itu kepada ibu saudaranya sebelum maklumkan kepada ibunya, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa telah menceritakan perbuatan terkutuk suspek.

“Ibu saudara memaklumkan kepada ibunya, anak pengasuh telah membuat gangguan seksual terhadap mangsa.

“Kemudian ibunya bertanya sendiri kepada mangsa dan mangsa menceritakan tentang perbuatan suspek itu selain mengadu bahagian sulitnya berasa sakit,” katanya.

Menurut Mazuki, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan koyakan separuh yang membuktikan terdapat kesan penetrasi objek tumpul di kawasan hymen.

“Rakaman percakapan awal mendapati mangsa mula menyatakan bahagian sulitnya sakit sejak Isnin lalu namun ibunya tidak mengesyaki apa-apa.

“Selasa lalu, mangsa juga menangis ketika ibunya mahu menghantar ke rumah pengasuh dengan mengatakan ada budak lain yang pengasuh jaga mahu memukulnya,” katanya.

Mazuki berkata, tangkapan remaja tersebut dibuat di rumah pengasuh terbabit selepas menerima laporan polis, kelmarin.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah diasuh sejak berusia dua tahun enam bulan dan mangsa rapat dengan pengasuhnya dengan memanggilnya mama.

“Suspek pula tidak bersekolah dan membantu menjaga anak-anak yang diasuh ketika pengasuh sedang memasak,” katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.