Siasatan kes buli pelatih TUDM Kuantan pada peringkat akhir

Mohd Asghar Khan - Foto Bernama
Mohd Asghar Khan - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Siasatan berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan kini pada peringkat akhir.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, individu yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih berkenaan akan dipanggil semula untuk disoal siasat pihak polis.

"Jadi kita tunggu siasatan daripada polis dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PjM) Udara Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara (ATU), di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara am dan TUDM khususnya tidak berkompromi dengan kes buli melibatkan anggota dan pegawainya.