Negeri Sembilan tak agresif separuh masa pertama - K Devan

Pemain Sabah, Gabriel Schmegel Wotter cuba melepasi kawalan dua pertahanan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. - Foto: Bernama
Pemain Sabah, Gabriel Schmegel Wotter cuba melepasi kawalan dua pertahanan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. - Foto: Bernama
A
A
A

NEGERI Sembilan FC disifatkan mampu memberi saingan dalam baki saingan Liga Super sekiranya menampilkan aksi bertenaga seperti separuh masa kedua ketika berdepan Sabah FC.

Itu rumusan pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan selepas menyaksikan skuad Rusa tewas 1-3 kepada Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas.

“Sejujurnya, semua bahagian pasukan Negeri Sembilan melakukan kesilapan dalam separuh masa pertama terutamanya ketika bertahan asakan para pemain Sabah.

“Sememangnya saya tak berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan pasukan apabila memberikan ruang kepada pasukan Sabah.

“Selain kita tidak agresif dalam situasi satu lawan satu, malah kita hanya melakukan satu serangan di separuh masa pertama,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu memimpin separuh masa pertama dengan 3-0 hasil jaringan Roman Machado pada minit ke-13 dan 29 diikuti gol daripada Miguel Cifuentes (m-46).

Namun Negeri Sembilan yang memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua kembali memberikan saingan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan menerusi sentuhan Hein Htet Aung pada minit ke-90.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Devan mengumpul 21 mata hasil - empat menang, sembilan seri dan lapan tewas - selepas mengharungi 21 perlawanan.

Baki saingan liga bakal menyaksikan skuad Rusa berdepan Perak FC di Ipoh, Kedah Darul Aman (Alor Setar), PDRM (Paroi) Kelantan United (Kota Bharu) dan Kuching City (Paroi).