MAIS edar lebih 3,000 pelekat kenderaan, Jalur Gemilang

Abdul Aziz (dua dari kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah kereta sebagai simbolik penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada Isnin.
Abdul Aziz (dua dari kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah kereta sebagai simbolik penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengedarkan 3,010 pelekat kenderaan dan Jalur Gemilang kepada Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikatnya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, JHEIS terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS).

"Jalur Gemilang turut diberikan kepada warga kerja MAIS, agensi dan anak syarikatnya iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Bakti Suci Holdings Sdn Bhd," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, MAIS turut mengadakan program Ziarah Merdeka bagi penyerahan Jalur Gemilang kepada tiga pusat iaitu Pusat Dialisis MAIS, Seksyen 3 Shah Alam, Rumah Puteri Arafiah, Seksyen 7 Shah Alam dan Rumah Perlindungan Mualaf Baitul Salam, Jalan Kebun

"Setiap rumah masing-masing menerima 100 Jalur Gemilang bagi tujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara," ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan kemerdekaan negara, Abdul Aziz menyarankan seluruh masyarakat terus menyemarakkan semangat patriotik terutamanya dalam bulan kemerdekaan ini.

Beliau berkata, semua masyarakat perlu menghayati erti kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.

"Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 66 tahun serta semangat cintakan negara ini hendaklah disemarakkan," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas beliau, seluruh rakyat digalak mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program kemerdekaan dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang.

"Pastikan semangat kemerdekaan tidak luntur dan sentiasa digilap,” tambahnya.