Import ikan laut hidup perlu bebas cemaran radionuklid

Import ikan laut hidup perlu dipastikan bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa. - Foto 123rf
Import ikan laut hidup perlu dipastikan bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Import ikan laut hidup perlu dipastikan bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa.

Jabatan Perikanan menerusi satu kenyataan berkata, langkah itu diambil susulan tindakan Jepun melepaskan air radioaktif dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik baru-baru ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan semua pengimport konsainan ikan hidup perlu memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)dan mematuhi syarat permit import yang telah dinyatakan.

"Untuk rekod, Malaysia mengimport hasilan perikanan bagi tujuan makanan daripada negara Jepun secara sejuk beku iaitu produk ikan sardin dan ikan mackerel.

"Manakala, bagi ikan hidup daripada Jepun, Malaysia hanya mengimport ikan hiasan (air tawar) seperti Koi Carp (Cyprinus carpio). Pengimportan ikan hidup ini hanya melibatkan ikan hiasan air tawar sahaja dan bukan ikan marin," katanya pada Isnin.

Tambahnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui jabatan berkaitan juga akan sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan dilaksanakan sebaik mungkin.

Selain itu, Jabatan Perikanan juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan makanan dan keterjaminan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bermula 24 Ogos lalu, Jepun melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, walaupun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.

Meskipun tindakan itu mendapat tentangan, Jepun kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air itu adalah selamat.