Pelajar maut motosikal lawan arus bertembung, seorang lagi parah

Keadaan motosikal kedua-dua mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Industri Kilang Berapi, Merlimau, Melaka pada petang Ahad.
Keadaan motosikal kedua-dua mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Industri Kilang Berapi, Merlimau, Melaka pada petang Ahad.
A
A
A

JASIN - Seorang pelajar sekolah maut manakala seorang juruteknik cedera parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Jalan Industri Kilang Berapi, Merlimau, di sini, pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang Muhammad Aniq Asyraf Abu Bakar, 17, telah bertembung dengan motosikal Yamaha Y15 A yang ditunggang Vijaikumar, 24.

Katanya, ketika kejadian pelajar terbabit dipercayai telah menunggang motosikal secara melawan arus.

"Mangsa dari arah Kampung Kilang Berapi menuju ke arah kawasan Industri Kilang Berapi dan setiba di sana mangsa telah bergerak secara melawan arus.

"Pada masa sama motosikal ditunggang lelaki berusia 24 tahun itu dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Jelasnya, akibat perlanggaran itu pelajar terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin.

"Manakala juruteknik terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Hospital Melaka," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!