ADUN PN Selangor cadang Timbalan Speaker DUN dari pembangkang

Harrison (gambar kecil) berpendapat pembangkang mempunyai hak untuk mencadangkan nama-nama dirasakan sesuai sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.
Harrison (gambar kecil) berpendapat pembangkang mempunyai hak untuk mencadangkan nama-nama dirasakan sesuai sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Selangor akan membincangkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dilantik dalam kalangan blok pembangkang.

ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pembangkang mempunyai hak untuk mencadangkan nama-nama dirasakan sesuai sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.

"Secara tradisinya Timbalan Speaker DUN dilantik kerajaan memerintah, tetapi tiada salah (jawatan) ini diberikan kepada pembangkang dan ia termaktub dalam peraturan-peraturan mesyuarat," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Harrison berkata, cadangan itu antara perkara yang akan dibawa dalam sesi perbincangan khusus dihadiri 22 ADUN PN Selangor yang dijadualkan diadakan di pejabat parti itu di Shah Alam pada Selasa.

Selain itu, katanya, perbincangan pada hari sama itu juga tertumpu kepada pelantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor.

"Kami rasa lebih adil kalau cadangan tertentu ini dibawa dan diputuskan untuk melantik calon Ketua Pembangkang di negeri ini," jelas beliau.

Menurut Harrison, perkara lain dibincangkan dalam pertemuan itu antaranya melantik ADUN dalam kalangan pembangkang bagi memantau portfolio Exco kerajaan Selangor.

"Pelantikan ini seperti Exco bayangan pembangkang, tetapi istilah sebenar belum diputuskan kerana ADUN PN akan memainkan peranan dalam mekanisme semak dan imbang," tambahnya.