Misi Serantau Muslim naik taraf sekolah di Yemen

Usaha membantu menambah baik pengurusan sekolah sedia ada menerusi projek Serantau Muslim international Learning Enhancement (S.M.i.L.E.)
Usaha membantu menambah baik pengurusan sekolah sedia ada menerusi projek Serantau Muslim international Learning Enhancement (S.M.i.L.E.)
A
A
A

SHAH ALAM - Serantau Muslim menerusi Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman baru-baru ini merancang dan melaksanakan Serantau Muslim international Learning Enhancement (S.M.i.L.E.) bagi menyediakan kelengkapan dan menaik taraf sekolah di negara itu.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya bercadang menjadi peneraju dalam usaha menambah baik pengurusan sekolah sedia ada di seluruh dunia dan dimulakan di Yemen.

Menurut beliau, sudah sampai masanya untuk melebarkan sayap kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan tempatan dan masyarakat dalam melengkapkan fasiliti sedia ada di sekolah negara tersebut.

"Dalam Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman, Serantau Muslim telah menaja fasiliti persekolahan di sebuah sekolah di dalam kem pelarian Yemen di Marib. Pemerhatian awal mendapati keadaan di sana serba kekurangan.

"Mereka belajar di lantai beralaskan karpet usang dan tanah yang berdebu selain tidak mempunyai kelengkapan pembelajaran yang baik. Kami tak bina sekolah, tapi kami komited naik taraf sekolah sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohd Hakim, memahami keadaan pelajar terpaksa mengharungi kesukaran untuk mendapat tempat pembelajaran yang selesa dalam tempoh peperangan, keberadaan pasukan Serantau Muslim di Yemen boleh dianggap tepat pada waktunya.

"Di saat mereka sangat memerlukan penambahbaikan infrastruktur sekolah, Serantau Muslim hadir membantu dengan mewujudkan tempat persekolahan ala 'caravan school'.

“Selain dari caravan baharu, mereka turut dibekalkan dengan kerusi, meja, kipas, serta bahan untuk menulis.

"Alhamdulillah setelah pemerhatian dan perancangan yang jelas, kami telah memenuhi keperluan mustahak diperlukan oleh sekolah berkenaan," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah buat rakyat Malaysia kerana telah menyumbang melalui untukmuyaman.com sekali gus membantu keperluan anak-anak dan penduduk di Yemen.

"Teruskan menyumbang kerana masih ramai memerlukan sumbangan dari kita untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan kepada yang belum mampu menyumbang, teruskan mendoakan kebahagiaan dan keselamatan mereka di sana.

“Mereka dahagakan ilmu dan dambakan perhatian kita. Tak mampu sumbang, titipkan doa.

"Dengan adanya usaha menaik taraf pendidikan di sini, insya-ALLAH dapat bantu anak-anak Yemen agar lebih maju serta berdaya saing," jelasnya.