Peluang terbuka luas dorong graduan perubatan beralih ke TVET

Mohd Luqman (kanan) menerima skrol daripada Muhamad Rumzi pada Majlis Konvokesyen PSA ke-24.
Mohd Luqman (kanan) menerima skrol daripada Muhamad Rumzi pada Majlis Konvokesyen PSA ke-24.
A
A
A

SHAH ALAM – Keyakinan terhadap peluang yang terbuka luas dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendorong seorang graduan perubatan beralih arah mengikuti diploma kejuruteraan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) PSA, Mohd Luqman Zulkepli berkata, TVET sering dipandang rendah oleh kebanyakan orang tetapi sebenarnya merupakan satu bidang penting dan mempunyai permintaan yang sangat tinggi.

“Contohnya dalam bidang teknologi perubatan sendiri. Saya kini sedang bekerja sebagai Penolong Eksekutif Teknikal di Next Level Technologies Sdn Bhd. Kami memang tidak menang tangan untuk uruskan permintaan pelanggan.

"Jadi saya yakin bidang ini boleh pergi jauh," katanya selepas selesai Majlis Konvokesyen PSA ke-24 pada Sabtu.

Majlis Konvokesyen itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat.

Mohd Luqman berkata, beliau tidak malu ‘menurunkan’ standard sekali pun merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada Universiti Sains dan Teknologi di Jordan.

“Tiada ruginya memandangkan kursus yang saya ambil juga berkaitan dalam bidang perubatan. Cuma kali ini lebih kepada ‘bedah’ peralatan yang digunakan hospital,” katanya.

Ternyata langkah berani diambil Mohd Luqman tidak sia-sia apabila menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi lima semester berturut-turut seterusnya dianugerahkan penerima Anugerah Pengarah.

Lebih manis kejayaan Mohd Luqman turut dikongsikan bersama isterinya, Nik Nur Insyirah Ihsan Kemari yang turut bergraduasi pada hari sama.

Turut hadir meraikan graduasi tersebut ialah ibu Mohd Luqman, Wan Kamariah Wan Musa.

Pada majlis konvokesyen kali ke-24 itu, seramai 1,571 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing.

Daripada jumlah itu, 439 graduan daripada Jabatan Perdagangan, 412 graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik manakala masing-masing seramai 360 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.