PN menang di Parlimen Pulai bantu ubah kerajaan - Hadi Awang

Abdul Hadi pada sidang akhbar di Pejabat Pas Pulai pada Ahad.
Abdul Hadi pada sidang akhbar di Pejabat Pas Pulai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parlimen Pulai akan menjadi permulaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menambah jumlah kerusi sekali gus mengukuhkan kedudukan di Dewan Rakyat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai akan memastikan referendum rakyat dibawa ke Putrajaya sekali gus memberi gambaran isyarat penting perubahan kerajaan.

"Ada yang dakwa PRK Pulai ini tak jadi apa sebab kecil sahaja. Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab ahli Parlimen yang menang nanti akan bersuara bagi pihak kita (PN) di Parlimen.

"Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen, kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita memerlukan tambahan kerusi ini (Parlimen Pulai) dan beberapa lagi (kerusi) jadi kita harap bersabar.

"Kita juga minta ahli UMNO insaf supaya berani berubah. Ini kerana kerajaan akan berubah pada bila-bila masa, itu boleh berlaku, jangan bimbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog rakyat di Pejabat Pas Pulai pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Bachok; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan calon PN bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa kemenangan PN dalam PRN tersebut membolehkan perubahan di peringkat Pusat berlaku.

Menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) memiliki kerusi terbanyak di Parlimen dengan 82 kerusi, diikuti PN dengan 73 kerusi, manakala BN hanya menguasai 30 kerusi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, momentum gelombang PN mulai dirasai pada PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, berdasarkan sambutan pengundi ketika ceramah dan kempen diadakan.

"Setakat ini, perkembanganya sangat positif dengan sambutan bila kita (PN) mengadakan ceramah dan kempen rumah ke rumah.

"Maklum balas daripada pengundi juga sangat baik membuktikan gelombang PRU15 tidak berhenti malah dapat dilihat dengan nyata pada PRN di enam negeri dan kini di dua PRK Johor," katanya.