'Isytihar krisis iklim 'takutkan' rakyat, pelabur'

Ameer, Kamilia
Ameer, Kamilia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada keperluan pengisytiharan krisis iklim dan penggubalan Akta Perubahan Iklim kerana akan menakutkan rakyat termasuk pelabur selain manfaat diterima hanya jangka pendek dan tidak berbaloi.

Sebaliknya kerajaan perlu mencari mekasnime yang bersesuaian bagi menangani isu berkenaan.

Perkara tersebut dibahaskan 10 perwakilan di Dewan Persidangan Parlimen sempena Debathon Parlimen Belia 2023 bertajuk Akta Perubahan Iklim.

Perwakilan dari blok kerajaan yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Kamilia Ng Mohammad Adam Ng, 19, berkata, pengisytiharan dan penggubalan berkenaan wajar dilaksanakan kerana negara menanggung kerugian yang besar disebabkan fenomena bencana.

"Negara selalu menghadapi ancaman banjir dan pada tahun 2022, kerugian ditanggung sebanyak RM622.4 juta.

"Jika tiada langkah dan usaha ini dilaksanakan maka kerugian akan bertambah pada tahun seterusnya.

"Justeru, menerusi penggubalan Akta Perubahan Iklim, mekasnime karbon bajet perlu diwujudkan bagi membantu menetapkan sasaran pengurangan pelepasan dengan cara yang adil dan berkesan," katanya.

Sesi perbahasan itu dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Balakong, Wayne Ong Chun Wei.

Perwakilan dari blok pembangkang yang juga mahasiswa UiTM, Ameer Hazeem Mohd Zaky, 22, membidas cadangan bagi mewujudkan karbon bajet dianggap tidak relevan kerana tiada persiapan dan pengurusan yang rapi untuk melaksanakannya.

"Sedarkah kerajaan tidak mempunyai undang-undang berkaitan karbon bajet itu.

"Jadi bagaimanapun mahu lepaskan karbon jika pengurusan pun tidak rapi dan sistematik," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengisytiharan krisis iklim akan merugikan negara sekali gus menakutkan rakyat.

Ujarnya, ia bakal memburukkan lagi ekonomi kerana pelabur akan lari dan tidak mahu melabur di negara yang tidak selamat.

"Jadi, pihak pembangkang menuntut supaya perbincangan dilakukan secara menyeluruh bagi mengelak kesan yang boleh memudaratkan keharmonian negara," ujarnya.

Mengulas lanjut, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, perubahan iklim merupakan polemik yang besar tetapi penggubalan akta itu bukan jalan penyelesaian sepenuhnya.

"Meskipun ia memberi penyelesaian positif tetapi ada harga yang perlu dibayar," ujarnya.