Selangor waspada kebangkitan Kelantan

Cheng Hoe FOTO: SELANGOR FC
Cheng Hoe FOTO: SELANGOR FC
A
A
A

SELANGOR FC tidak akan mengambil mudah cabaran Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat.

Malah, pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemainnya untuk mengekalkan rentak kemenangan yang dilakar dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.

Dua perlawanan terakhir sebelum ini menyaksikan Selangor menewaskan Kuala Lumpur City, 2-0 sebelum menang besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC.

“Saya mahu pemain-pemain fokus dengan mindset mereka apabila berdepan Kelantan. Ya, mereka pernah dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 10-0 dalam aksi Piala Malaysia sebelum ini.

“Namun kekalahan besar Kelantan itu bukan kelebihan besar kepada Selangor kerana saya percaya mereka sudah tentu tidak mahu mengulangi situasi sama berulang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Menurut Cheng Hoe, beliau percaya barisan pemain muda The Red Warriors (TRW) kendalian Alfredo Vera itu akan bangkit bagi memadam kekecewaan selepas tumbang kepada JDT.

“Jika kita tengok kembali ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada 9 Ogos lalu, mereka bermain sepenuh hati tanpa tekanan biarpun berdepan lawan yang jauh berpengalaman.

“Jadi saya menjangkakan Kelantan akan tampil dengan semangat baharu... mentaliti got nothing to lose apabila berdepan Selangor di laman sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Biarpun kurang pengalaman, semangat juang tinggi pemain muda Kelantan mampu menghadirkan kesukaran kepada Selangor sekiranya pemain-pemain mengambil mudah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menegaskan misi melakar keputusan positif merupakan matlamat utama kunjungan pasukan Selangor ke di Kota Bharu tersebut.

"Saya akan menurunkan kesebelasan yang terbaik bagi memastikan tiga mata dapat diraih dalam perlawanan ini dalam memperkukuhkan kedudukan pasukan dalam liga.

"Selangor akan berehat sementara selepas perlawanan menentang Kelantan, jadi pemain-pemain perlu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

LIGA SUPER 2023

JADUAL

JUMAAT (25 OGOS)

Kelantan FC lwn Selangor FC

(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)

Kuching City FC lwn Terengganu FC

(Stdm Negeri, Kuching, 4.45 petang)

SABTU (26 OGOS)

Sabah FC lwn Negeri Sembilan FC

(Stdm Likas, 8.15 malam

Kedah Darul Aman lwn JDT

(Stdm Darul Aman, 9 malam)

AHAD (27 OGOS)

PDRM lwn Penang FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 5.15 petang)

Perak FC lwn Kuala Lumpur City

(Stdm Perak, 8.15 malam)

Kelantan United lwn Sri Pahang

(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam

*Tarik, venue, masa tertakluk pindaan MFL