MB mahu Amanah Johor segera dekati pengundi - Aminolhuda

Pertemuan Onn Hafiz ( tengah) bersama kepimpinan Amanah Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.
Pertemuan Onn Hafiz ( tengah) bersama kepimpinan Amanah Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) Johor diminta segera mendekati pengundi di kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September depan.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, gesaan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuan dengan pihaknya pada Ahad.

"Perbincangan dua hala berkaitan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berikutan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub penyandang di kedua-dua kerusi berkenaan menjadi topik utama dalam pertemuan berkenaan.

"Di akhir perbincangan, Onn Hafiz sempat berseloroh cepat bergerak dekati pengundi di kedua-dua kawasan PRK," tulisnya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menambah, Menteri Besar turut menyatakan komitmen untuk membantu calon Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kawasan tersebut.

"Jalinan kemesraan yang ditunjukkan oleh Onn Hafiz dalam pertemuan dengan pemimpin Amanah menjelaskan bahawa hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) Johor adalah dalam keadaan baik dan harmoni.

"Onn Hafiz juga menzahirkan kesedihan beliau atas kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan berikrar akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada bakal calon dari Amanah untuk mewakili PH-BN dalam PRK berkenaan," katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.