Model Ketokohan, kepimpinan Tun Dr Ismail

Mencari pembina negara yang baharu untuk Malaysia

A
A
A

Anwar berucap ketika merasmikan Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos.
Anwar berucap ketika merasmikan Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos.

SATU acara ulang tahun ke-50 mengenang pemergian mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman telah diadakan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Dalam banyak-banyak acara yang telah saya hadiri, upacara ini adalah satu daripada acara yang penuh bermakna. Malaysia kini sedang mencari pembina negara, buat kesekian kalinya, dan kisah hidup serta legasi Tun Dr Ismail merupakan rujukan utama bagi mengisi potensi para pembina negara ini.

Dalam ucapannya yang lahir daripada suara hatinya tanpa merujuk kepada teks ucapan yang disediakan kepadanya di upacara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sifat integriti, bersih dan ketokohan Dr Ismail telah membayangi dan melindungi negara.

Mengingatkan kembali zaman beliau menjadi pemimpin pelajar pada awal dekad 1970-an, Anwar mengatakan beliau tidak takut untuk tegas bersuara di hadapan Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdul Razak Hussein atau mana-mana pemimpin lain.

Tetapi dengan Dr Ismail, beliau terpaksa menyusun kata mempamerkan rasa hormat. Begitulah ketokohan Dr Ismail.

Allahyarham meletakkan negara di atas segala-galanya. Beliau sanggup kembali bertugas selepas tragedi 13 Mei 1969 walaupun telah meletak jawatan sebagai menteri pada 1967 kerana keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Iltizamnya untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara pelbagai kaum yang berkongsi matlamat serta tujuan terbukti dengan usahanya menggubal serta mempromosikan Rukun Negara.

Syukurlah Kerajaan Perpaduan hari ini yang dipimpin oleh Anwar memberi keutamaan kepada usaha mengenang jasa Dr Ismail.

Walaupun Malaysia mempunyai ramai tokoh politik, tidak banyak yang disanjung kerana integriti, wawasan pelbagai kaum, keberkesanan dalam pentadbiran, dan minda strategik dalam geopolitik dan hal-ehwal dunia. Semua sifat, ilmu dan kemahiran ini ada pada Dr Ismail.

Ketokohan dan sumbangan Dr Ismail

Pengunjung meneliti pameran foto Dr Ismail dalam Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj ' Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pengunjung meneliti pameran foto Dr Ismail dalam Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj ' Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



Malaya dan Malaysia lahir di tengah-tengah kancah Perang Dingin dan menangani geopolitik amat penting untuk survival negara.

Di sinilah letaknya kehebatan Dr Ismail. Allahyarham merupakan Duta Malaya ke Amerika Syarikat yang pertama dan juga Wakil pertama negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kisah ini dinyatakan dengan lengkap dalam buku karya Datuk Dr Ooi Kee Beng yang bertajuk ‘Malaya's First Year at the United Nations: As Reflected in Dr Ismail's Reports Home to Tunku Abdul Rahman’.

Saya meminati serta mengetahui dengan lebih mendalam tentang legasi Dr Ismail melalui persahabatan saya dengan Dr Ooi yang turut menulis buku ‘The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time’ yang telah diterjemahkan dengan tajuk ‘Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr Ismail dan Masanya’.

Melalui Dr Ooi, saya mengenali Taufik, anak sulung Dr Ismail yang juga pernah menjadi seorang Ahli Parlimen.

Pada tahun 2005, tidak lama selepas saya pulang dari Australia setelah menamatkan pengajian, saya diperkenalkan kepada Dr Ooi. Beliau berada di Kuala Lumpur pada masa itu untuk mewawancara beberapa kawan dan kenalan Dr Ismail.

Saya pula, melalui perkenalan itu ditawarkan menjadi Felo di Yusof Ishak-Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS-Yusof Ishak Institute) di Singapura.

Saya masih ingat bagaimana saya membaca buku ‘The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time’ pada penghujung Disember 2006 yang mana ia menjadi buah mulut pembaca di Malaysia dan Singapura pada minggu pertama bulan Januari 2007.

No Image Caption

Akhbar New Straits Times, pada masa itu di bawah pimpinan Datuk Kalimullah Hassan, dan Straits Times Singapura, saban hari menyiarkan petikan daripada buku tersebut.

Buku itu juga dicetak beberapa kali pada awal 2007. Para pembaca tertarik dengan legasi Dr Ismail ketika negara berada dalam suasana yang panas pada masa itu.

Penyelidikan yang Dr Ooi lakukan untuk menyiapkan buku tersebut memberi gambaran yang jelas tentang tokoh yang selama ini hanya diketahui namanya daripada singkatan TTDI atau Taman Tun Dr Ismail, sebuah kawasan perumahan elit di ibu kota.

Buku itu juga mengingatkan mereka yang pernah mengenali tokoh tersebut bahawa dalam politik memang akan tetap ada orang yang baik, politik masih membuka ruang untuk mereka yang mahu menyumbang kepada negara dan membina negara bukan sesuatu yang sia-sia, malah ia merupakan satu usaha yang berbaloi di Malaysia.

Setelah 16 tahun buku ‘The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time’ diterbitkan, Malaysia kini mempunyai satu peluang keemasan untuk membina semula negara melalui Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Melihat kepada Dr Ismail sebagai role model, Perdana Menteri telah menyatakan hasrat untuk mencari dan membimbing generasi baharu yang akan menjadi pembina negara.

Semoga mereka yang berhati bersih berjiwa murni seperti Dr Ismail ada dalam politik hari ini dan sanggup berganding bahu untuk sama-sama membina masa hadapan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

*YB Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)