Tawaran PN bantu perkasakan wanita, belia

Sasha Lyna bertekad lonjakkan diri wanita menerusi medium perniagaan baharu

A
A
A

Sasha Lyna bercadang melakukan padanan pekerjaan bagi membantu belia dan semua pengundi secara keseluruhannya.
Sasha Lyna bercadang melakukan padanan pekerjaan bagi membantu belia dan semua pengundi secara keseluruhannya.

AMPANG - Tawaran Perikatan Nasional (PN) di bawah kerangka 'Selangor Baharu' dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini dijangka membantu memperkasakan semua golongan rakyat terutama wanita dan belia.

Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, tawaran yang dibuat kepada usahawan secara langsung akan memberi manfaat kepada wanita kerana lebih 50 peratus daripada ushawan itu adalah kaum hawa.

"PN menjanjikan pemberian geran sebanyak RM10,000 untuk memperkasakan perniagaan milik usahawan wanita serta dana pemula perniagaan maksimum sebanyak RM50,000 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan dalam inisiatif srikandi profesional kita.

"Kita juga akan pastikan sebanyak 30 peratus wanita mengisi jawatan utama di agensi dan anak syarikat kerajaan negeri," katanya pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di bilik gerakan PN DUN Bukit Antarabangsa di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sasha Lyna, 40, menjelaskan, beliau secara peribadi bertekad untuk melonjakkan diri wanita menerusi medium perniagaan baharu selain memberi latihan agar wanita lebih berkeyakinan.

Katanya, dalam keadaan pasca pandemik Covid-19 ketika ini landskap perniagaan jauh berubah apabila banyak perkara dilakukan secara dalam talian termasuk dalam urus niaga.

Artikel Berkaitan:

"Hidup kita cukup mudah sekarang, tak perlu lagi bawa kereta pergi ke kedai kerana banyak urus niaga guna aplikasi telefon pintar dan tak semua wanita sudah ke tahap ini, jadi itulah yang kita nak bantu.

"Tapi kalau ada yang masih ada kedai, itu pun PN dah tawarkan dan akan bantu. Bantuan itu termasuk membabitkan pengecualian lesen berniaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dari segi pemberian geran," ujarnya.

Sepanjang tempoh kempen berlangsung, Sasha Lyna kerap bertemu dan bertanya khabar pelbagai lapisan masyarakat di DUN Bukit Antarabangsa.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, Sasha Lyna kerap bertemu dan bertanya khabar pelbagai lapisan masyarakat di DUN Bukit Antarabangsa.

Padanan pekerjaan

Sasha Lyna menegaskan, dalam manifesto peribadinya juga, beliau bercadang untuk melakukan padanan pekerjaan bagi membantu belia dan semua pengundi secara keseluruhannya.

"Kita ada data-data belia dan pengundi lain dengan ada antara mereka dibuang kerja serta dihimpit masalah lain.

"Kalau boleh di lokaliti saya, saya nak fokus supaya mana-mana peniaga atau syarikat yang memerlukan pekerja, kita guna data itu dan buat padanan pekerjaan. Jadi tak perlulah penduduk kena keluar ke kawasan lain untuk cari kerja," tambahnya.

Sasha Lyna yang juga seorang peguam berkata, tawaran peribadi itu akan menjadi nilai tambah di kawasannya selain tawaran PN keseluruhannya mencakupi semua dan memfokuskan tiga perkara utama iaitu menangani kos sara hidup, miskin bandar dan peluang pekerjaan.

Menurut beliau, manifesto PN Selangor yang diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara keseluruhannya sememangnya ditunggu-tunggu rakyat dan beliau sendiri selaku pengundi DUN Bukit Antarabangsa.

Bukan retorik

"Tawaran yang dibuat ini bukan retorik untuk kita menang pilihan raya tetapi PN memang nak bantu rakyat Selangor. Dari segi kos sara hidup, memang rata-rata tempat yang saya pergi jumpa pengundi, isu inilah yang disuarakan penduduk, peniaga atau pembeli.

"Pengundi DUN Bukit Antarabangsa juga turut berdepan dengan masalah miskin bandar. Itu fokus yang Tan Sri Muhyiddin minta kita tekankan dan tengok semula. Jadi tawaran-tawaran PN itu sendiri saya yakin dapat tangani isu-isu ini," kata Sasha Lyna.

No Image Caption

Ditanya tentang tawaran yang paling penting terutama dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat, Sasha Lyna berpandangan, penyaluran Inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor sebanyak RM400 sebulan untuk pembelian barangan keperluan akan dapat meringankan beban rakyat.

"Yang saya rasa ramai orang nanti-nantikan dan ramai bertanya kalau PN ambil alih kerajaan negeri, adakah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) akan diadakan balik sebab ia diperkenalkan masa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor.

"Waktu itu wanita isi rumah diberikan RM200 untuk membeli barangan keperluan asas. Cuma saya dimaklumkan selepas itu, kerajaan negeri hadkan ia cuma boleh beli sesetengah barang sahaja.

"Jadi Tan Sri Muhyiddin umumkan kita buat perkara yang sama tapi kita naikkan jumlah itu kepada RM400 mengambil kira kos sara hidup yang tinggi ketika ini. Oleh itu isi rumah boleh beli semua barang kecuali rokok," kata beliau.

Mengulas lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata, tawaran PN turut mengkhusus kepada jaminan keadaan persekitaran selamat di mana keadaan persekitaran juga turut menjadi kebimbangan sebahagian penduduk DUN Bukit Antarabangsa.

Ujar Sasha Lyna, ada sesetengah pengundi memaklumkan kepadanya bahawa mereka risau akan masalah cerun dan pergerakan tanah yang berlaku di kawasan penempatan mereka.

"Mereka risau ssbab dah ada beberapa projek pembangunan baharu yang telah diluluskan jadi mereka nak tahu apakah pendekatan calon-calon yang bertanding dalam PRN untuk menangani kebimbangan mereka itu.

"Jadi saya maklumkan bila saya dipilih sebagai Ahli DUN (ADUN), saya boleh meminta kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) atau mana-mana agensi yang memberi kelulusan projek tersebut untuk lihat semula macam mana kelulusan itu dibuat, adakah ia mengikut proses atau prosedur yang betul," ulasnya.

Sehubungan itu, Sasha Lyna menyeru semua pengundi DUN Bukit Antarabangsa dan Selangor untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi pada 12 Ogos ini dan mengundi PN supaya perubahan dapat dilakukan.



ADVERTORIAL