Ular sawa 'lawat' Uptown Pahlawan Walk

Seorang anggota APM menunjukkan ular sawa sepanjang 2.5 meter yang berjaya ditangkap.
Seorang anggota APM menunjukkan ular sawa sepanjang 2.5 meter yang berjaya ditangkap.
A
A
A

MELAKA - Kehadiran seekor ular sawa sepanjang 2.5 meter yang bersembunyi di bawah timbunan kotak menggemparkan suasana di Uptown Pahlawan Walk Banda Hilir di sini, pada Isnin.

Kehadiran reptilia di belakang sebuah gerai sekitar jam 12 malam itu disedari seorang pekerja pembersihan.

Peniaga, Azira Abd Rahman, 45, berkata, ketika kejadian kebanyakan peniaga sedang sibuk mengemas barang masing-masing untuk menutup perniagaan mereka.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai haiwan itu bersembunyi di bawah timbunan kotak yang terletak di bahagian belakang tapak gerainya.

"Lagi saya risau sebab dekat dengan kedai saya dan tempat ambil wuduk.

"Bimbang kejadian tidak diingini berlaku saya segera menghubungi panggilan kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.08 malam sebelum operasi dihentikan pada jam 1.46 pagi.

"Setiba di lokasi anggota operasi terpaksa memecahkan papan palet di bawah timbunan kotak sebelum berjaya menangkap ular sawa itu menggunakan penyepit ular," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi menangkap ular itu turut tular di media sosial menerusi perkongsian video berdurasi 53 saat.