Empat lelaki rentung: Kereta dipercayai terbabas sendiri

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MANJUNG - Nahas kereta yang mengorbankan empat lelaki hingga rentung di Kilometer 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara pada Isnin dipercayai berlaku akibat terbabas sendiri.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Proton Iswara itu hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kereta dinaiki lima pekerja kontrak terbabit masuk ke dalam longkang hingga menyebabkan terbakar.

"Akibat kejadian itu, pemandu berusia 56 tahun bersama penumpang hadapan 50 tahun rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian turut mengakibatkan dua penumpang belakang masing-masing berusia 45 dan 53 tahun maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang belakang berusia 54 tahun terselamat, namun cedera parah.

Katanya, ketika kejadian, kesemua mangsa yang merupakan rakan sekerja dalam perjalanan ke Ipoh selepas selesai kerja di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

"Bedah siasat akan dijalankan esok (Selasa) jam 10 pagi di Hospital Seri Manjung.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian dilaporkan jam 5.11 petang itu, empat lelaki rentung, sementara seorang terselamat selepas kereta dinaiki terbakar berhampiran susur keluar Changkat Cermin dekat sini.

Operasi mengeluarkan mangsa yang dijalankan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dibantu Balai Ayer Tawar tamat pada jam 7.20 malam.