Menteri jadi 'pemain dram' kumpulan rock Indonesia

Basuki Hadimuljono (kanan) mengiringi kumpulan Cokelat sebagai pemain dram semasa perasmian Arena Indonesia di Jakarta pada Isnin. - Agensi
Basuki Hadimuljono (kanan) mengiringi kumpulan Cokelat sebagai pemain dram semasa perasmian Arena Indonesia di Jakarta pada Isnin. - Agensi
A
A
A

JAKARTA - Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono mengejutkan orang ramai semasa perasmian Arena Indonesia di Jakarta pada Isnin apabila menjadi pemain dram untuk kumpulan Cokelat.

Dalam acara tersebut, Basuki menunjukkan kebolehannya bermain alat muzik itu di hadapan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan sejumlah pegawai kanan kerajaan.

Pada mulanya, Basuki hadir sebagai salah seorang tetamu dan duduk di barisan orang kenamaan atau VVIP bersama Jokowi ketika Cokelat mendendangkan lagu-lagu popular kumpulan itu.

Menjelang lagu ketiga, vokalis Cokelat, Kikan membuat pengumuman bahawa Basuki akan tampil bersama kumpulan itu sebagai pemain dram dan ia disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh seluruh stadium.

Basuki yang tampil dengan gaya ranggi mengiringi Cokelat dengan memainkan lagu berjudul 'Luka Lama'.

Sejurus tamat persembahan, Jokowi secara berseloroh mengatakan aksi Basuki tidak sehebat pemain dram kumpulan Led Zeppelin, Jon Bonham.

Mendengar jawapan Jokowi, Basuki dan beberapa menteri lain serta wartawan hanya mampu tergelak. - Agensi