Guru wanita maut, rempuh treler buat pusingan U

Keadaan kenderaan dipandu mangsa setelah merempuh belakang treler yang membuat pusingan u dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Pulapol, Rantau Abang, Dungun pada Isnin.
Keadaan kenderaan dipandu mangsa setelah merempuh belakang treler yang membuat pusingan u dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Pulapol, Rantau Abang, Dungun pada Isnin.
A
A
A

DUNGUN - Seorang guru wanita maut selepas kereta dipandu merempuh belakang sebuah treler yang membuat pusingan U dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Pusat Latihan Polis (Pulapol), Rantau Abang di sini pagi Isnin.

Mangsa, Nur Syazatul Ain Yaakob, 34, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Dungun akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Marang ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rasau, Kertih di Kemaman sebelum ditimpa nahas kira-kira jam 6.45 pagi.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah treler membawa muatan pasir silika yang datang dari arah Dungun dikatakan membuat pusingan U.

Mangsa yang ketika itu memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri belakang lori berkenaan.

Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan dibawa ke Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.40 pagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, kes itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.